Dalam ucapan Belanjawan 2021 pada 6 Novermber 2020 yang lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul ada menyatakan dengan jelas bahawa,
“117. Dalam norma baharu ini, pembelajaran secara dalam talian telah menjadi satu amalan. Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan bahawa GLC dan GLIC akan menyumbang sebanyak 150 juta ringgit ke dalam Tabung CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 buah sekolah sebagai projek rintis. Projek ini akan diselia oleh Yayasan Hasanah”.
Ayat ini disebut oleh Menteri Kewangan. Bukan pinjaman ya, tapi pemberian.
Bab pinjaman komputer riba juga disebutkan dalam ucapannya,
“125. Selanjutnya, untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, Kerajaan bekerjasama dengan BSN akan menyediakan 100 juta ringgit bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba”.
Pada 27 Januari 2020, Tengku Zafrul juga telah menjelaskan bahawa 150,000 komputer riba akan diagihkan pada awal bulan Februari 2021.
Namun, betapa hampanya anak-anak dan para ibubapa yang membaca kenyataan Tengku Zafrul pada 8 Februari 2021, 3 bulan selepas pengumuman Belanjawan 2021, bahawa skripnya bertukar daripada ‘pemberian komputer riba’ kepada ‘program kerajaan beri laptop kepada pelajar cuma pinjaman’.
Daripada ‘diberikan’ kepada ‘pinjaman’. Bagaimana seorang yang memegang jawatan Menteri Kewangan boleh mengeluarkan kenyataan dalam Dewan Rakyat tanpa apa-apa asas atau jaminan bahawa ianya boleh dilaksanakan dan selepas 3 bulan buat pusingan “u-turn”?
Dimanakah 150,000 komputer riba yang dijanjikan ini? Adakah GLC atau GLIC tidak memberi sumbangan atau peranti tersebut masih dengan Yayasan Hasanah kerana ‘red-tape’ berlambak yang menyekat pengagihan semua komputer riba yang dijanjikan?
Sudah masuk 1 Mac 2021, apakah status pemberian komputer riba ini?
Apakah pula status RM100 juta dari kerajan bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba bagi pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN?
Berapakah ramaikah pelajar yang layak atau yang telah mendapat pinjaman ini dan apakah perincian dalam kontrak pinjaman komputer riba bagi pelajar IPT yang sudah tertekan dengan hutang PTPTN?
Tengku Zafrul harus sedar bahawa setiap satu kata dari mulutnya itu akan memberikan impak yang besar kepada kualiti pembelajaran dan keadaan kesihatan mental kanak-kanak dan pelajar-pelajar dari golongan B40 yang tertekan dengan status sosioekonomi mereka.
Kerajaan Perikatan Nasional ibarat meletak garam pada luka warga marhaen.
Dimanakah letaknya kejujuran dan integriti kamu wahai Menteri Kewangan?
Impian generasi muda, anak-anak kita untuk menjadi kenyataan bergantung kepada apa yang Menteri Kewangan selaku anggota Eksekutif dan sebahagian dari Kerajaan Perikatan Nasional dalam melakar masa depan mereka.
Dewan Rakyat bukanlah kedai kopi untuk menabur janji-janji manis jika tiada iltizam politik untuk melaksanakannya.
Jangan pula senaraikan program komputer riba ini sebagai salah satu pencapaian satu tahun Kerajaan Perikatan Nasional. Ianya satu kegagalan, kecuaian dan satu pengkhianatan.
Rakyat Malaysia harus tahu apakah status 150,000 komputer riba yang akan DIBERIKAN seperti dalam ucapan YB Menteri Kewangan dan pinjaman komputer riba melalui skim pinjaman komputer riba bagi pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN.