Skip to content

Sumber tenaga perubatan dihantar, arah pulih penularan

Semalam, saya berkesempatan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Dato’ Dr. Chong Chee Kheong.

Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara berkaitan keadaan COVID-19 di negeri ini telah dibincangkan dan disusuli dengan isu-isu yang telah dipersetujui serta diputuskan semasa lawatan Menteri Kesihatan, YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke Pulau Pinang pada 11 September lalu.

Antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan dengan pembinaan hospital medan sebagai fasiliti tambahan bagi merawat pesakit COVID-19 dekat perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) yang kini masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.

Saya turut dimaklumkan bahawa KKM juga telah menghantar tenaga pakar serta sumber manusia untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam menghadapi kadar peningkatan kes-kes COVID-19 di negeri ini.

Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Dr. Chong turut memberitahu bahawa proses perbincangan KKM bersama-sama pihak hospital swasta bagi menambah kapasiti kemudahan perubatan di negeri ini sudahpun bermula, dan saya berasa amat gembira apabila dimaklumkan bahawa pihak berkaitan bersedia untuk berbuat demikian.

Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Dr. Chong dan pasukan beliau yang menyatakan kesediaan untuk memberikan arahan serta nasihat kepada JKNPP bagi memulihkan keadaan penularan COVID-19 di negeri ini secara menyeluruh.