Skip to content

Sungai nadi kehidupan

Sempena Hari Sungai Sedunia, ini masanya bagi kita semua memikirkan betapa pentingnya sungai sebagai nadi atau sumber kehidupan.

Setiap orang di bumi ini memerlukan akses minimum 20 hingga 50 liter air setiap hari untuk hidup. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengiktiraf “akses mendapat air yang bersih dan selamat serta sanitasi sebagai hak asasi manusia yang penting untuk kenikmatan hidup serta semua hak asasi manusia”.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih ketinggalan dalam memenuhi keperluan hak asasi manusia ini, walaupun merupakan antara salah sebuah negara tropika yang menikmati taburan hujan yang paling tinggi di dunia ini.

Apakah punca masalah ini?

Walaupun kita mempunyai lebih daripada 150 sistem sungai yang mengalir sepanjang 38,000 kilometer, kita juga menghadapi cabaran berterusan bagi memastikan sungai tidak tercemar.

Terdapat pelbagai percanggahan dan kekurangan dalam bidang kuasa penguatkuasaan ke atas sungai. Dengan tidak adanya undang-undang yang jelas dan garis panduan yang tetap, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan sering kali bertindih dalam bidang kuasa yang diberikan. Kesannya, kualiti air di sungai terus merosot.

Di daerah Bentong, yang terkenal dengan banyaknya sungai, bukit-bukau dan air terjun, mengalami perkembangan pesat kerana jaraknya yang begitu dekat dengan kawasan Lembah Klang. Daerah ini juga membekalkan air minum kepada penduduk yang padat melalui kawasan sungai dan tadahan utama di Empangan Klau, Karak. Ini adalah kilang Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor yang siap pada tahun 2015. Loji ini akan mengepam kira-kira dua juta liter air tawar setiap hari ke projek Langat 2 di Selangor.

Di bawah perlembagaan negeri Pahang, sungai berada di bawah kawalan pihak berkuasa negeri. Demi kepentingan sungai-sungai di Pahang dan Bentong, kerajaan Negeri Pahang harus mempertimbangkan secara serius untuk menubuhkan agensi atau lembaga sungai untuk memastikan pengurusan sumber air yang berkesan dan holistik di negeri ini. Agensi ini boleh menjadikan Lembaga Urus Air Selangor (Lembaga Pengurusan Air Selangor) atau LUAS yang dibentuk berdasarkan Enakmen negeri pada tahun 1999 sebagai model rujukan. Agensi ini telah diberi kuasa sah dibawah peruntukan undang-undang untuk mengurus,
menguatkuasa dan memantau sungai dan kawasan tadahan air Negeri Selangor, yang merangkumi tebing sungai, semua permukaan air, tasik dan kolam (termasuk lombong).

Dengan terbentuknya Lembaga Pengurusan Air Pahang, agensi ini bukan hanya dapat menghentikan kegiatan pencemaran sungai, tetapi juga merumuskan pelbagai dasar untuk mencegah pencemaran di masa hadapan. Garis panduan akan diberikan kepada majlis-majlis daerah untuk melaksanakan perencanaan tempatan masing-masing di zon pembangunan yang dibenarkan dengan mengambil kira jarak kawasan pembangunan ke tebing dan anak sungai. Pencegahan ternyata lebih baik daripada mengubati.

Agensi pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Lembaga Pengelolaan Air juga harus diberikan target KPI berdasarkan kualiti air, dengan sasaran pencapaian spesifik dalam aspek pemeliharaan dan penambahbaikan dalam satu jangka masa yang teleah ditetapkan. Hanya dengan tindakan konkrit seperti ini, sungai kita berpeluang kembali ke tahap kualiti yang baik seperti sedia kala.

Negeri Pahang mempunyai kemampuan dan teladan untuk diikuti. Sekarang adalah masa untuk mengambil tindakan.