Suntikan fiskal berjumlah RM10 bilion yang lemah dan kegagalan merancang dengan merawat gejala dan bukan punca kemelesetan ekonomi, dalam pakej bantuan kewangan Pemulih yang diumumkan oleh Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin baru-baru ini, tidak berbeza dengan merancang untuk gagal memulihkan ekonomi. Mahiaddin telah membayangkan sebulan yang lalu bahawa jumlah kerugian ekonomi dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 2.0 dan 3.0 boleh menyebabkan kerugian ekonomi hingga RM500 bilion.
Dengan suntikan fiskal langsung sebanyak RM83 bilion daripada jumlah keseluruhan gabungan RM530 bilion dari 8 pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak tahun lalu, tidaklah mengejutkan bahawa tidak ada kesan positif yang jelas terhadap ekonomi kita. Dengan gagal menangani punca dan hanya merawat gejala-gejalanya, kerajaan terperangkap dalam kitaran PKP tanpa penghujung dan pakej bantuan kewangan, sehingga kita bukan sahaja akan menghabiskan sumber hasil kita untuk mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan, tetapi juga menghabiskan sumber kita untuk melawan COVID-19.
Kerajaan harus sedar bahawa punca sebenar kemelesetan ekonomi kita sekarang adalah berkaitan dengan pandemik COVID-19. Hanya apabila kita menyalurkan segala sumber untuk menangani COVID-19 dengan menerapkan saranan Organisasi Kesihatan Dunia untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’, serta program vaksinasi yang cepat dan lancar, baru kita boleh berharap dapat memenangi perang melawan COVID-19.
Kegagalan untuk membelanjakan secukupnya untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’ dan perolehan vaksin yang tidak teliti, ditambah pula dengan kegagalan untuk mematuhi SOP COVID-19 dan amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan PKP, menyebabkan “total lockdown” sekarang gagal untuk mengekang lonjakan kes jangkitan dan kematian COVID-19. Contohnya adalah menolak untuk memberikan jawatan tetap kepada 35,216 pegawai kesihatan kontrak, termasuk 23,077 pegawai perubatan, 5,000 pegawai pergigian dan 7,139 pegawai farmasi.
Bagaimana ekonomi dapat pulih sekiranya punca COVID-19 tidak ditangani? Atas sebab ini, DAP telah mencadangkan bahawa selain daripada RM6 bilion yang dibelanjakan untuk vaksin, tambahan RM4 bilion harus dibelanjakan untuk menyerap pegawai pegawai kesihatan kontrak ini dan meningkatkan sistem sokongan kesihatan.
Bantuan wang tunai kepada golongan miskin dan yang memerlukan juga perlu berubah dari bantuan tunai “one-off” atau bantuan sementara kepada pembayaran bantuan bulanan kebajikan secara berkala sebanyak RM1,000, termasuk kepada penganggur. Ini akan menelan belanja RM6 bilion bagi 6 bulan terakhir hingga akhir tahun.
Bagaimana Bantuan “One-Off” RM3,000 Kepada Agensi Pelancongan Dapat Membantu Industri Pelancongan?
Bagi menghidupkan kembali ekonomi, pekerjaan bukan hanya perlu diselamatkan, tetapi pekerjaan baru juga perlu diwujudkan dan perniagaan dilindungi. Insentif pengambilan pekerja bulanan sebanyak RM300 mesti diberikan kepada majikan untuk mengambil pekerja rakyat Malaysia dan insentif upah bulanan sebanyak RM500 diberikan kepada pekerja untuk meningkatkan pendapatan mereka. Mewujudkan sehingga 300,000 pekerjaan akan menelan belanja RM5bilion bagi 6 bulan terakhir tahun ini.
Bagi melindungi perniagaan, geran kewangan, subsidi sewa dan utiliti bernilai RM30 bilion mesti diberikan kepada perniagaan, terutamanya PKS. Tidak ada gunanya menawarkan potongan cukai untuk industri pelancongan apabila tidak ada pendapatan yang dihasilkan atau keuntungan yang diperolehi. Apa yang diperlukan adalah manfaat kewangan secara terus. Sebagai contoh, di bawah Pemulih, 5,335 agensi pelancongan akan diberikan bantuan “one-off” RM3,000 berjumlah hanya RM16 juta.
Adakah bantuan “one-off” RM3,000 ini dapat membantu industri pelancongan yang kerugian RM100 bilion tahun lalu dan menghadapi kerugian yang sama tahun ini? Adakah peruntukan RM16 juta ini dapat menghalang hotel daripada ditutup, yang terbaru adalah Hotel Istana bertaraf 5 bintang di Kuala Lumpur? Sudah tiba masanya, Kerajaan PN bangun daripada tidur dan melakukan tugas mereka untuk membantu pemulihan ekonomi dengan menghidupkan semula mata pencarian rakyat kita, melindungi pekerjaan untuk pekerja kita dan menyelamatkan perniagaan untuk usahawan kita.