Skip to content

Suntikan fiskal RM11 bilion tidak cukup untuk menghidupkan semula ekonomi apabila apa yang diperlukan ialah pemangkin ekonomi sebesar RM45 bilion

Perdana Menteri Muhyddin Yassin perlu menyemak semula angka-angka ekonominya jika beliau percaya bahawa program “Pemerkasa” ekonomi RM20 bilion, melibatkan suntikan fiskal hanya RM11 bilion adalah mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi. Bagaimana dengan suntikan fiskal sekadar RM11 bilion mampu menarik Malaysia keluar daripada kemelesetan ekonomi apabila KDNK menguncup sebanyak 5.6% pada 2020.

Muhyiddin nampaknya telah lupa bahawa pakej ransangan ekonomi Prihatin RM305 bilion dan Belanjawan 2021 RM322.5 bilion pada tahun lepas, serta pakej ransangan Permai RM15 bilion pada Januari tahun ini, telah dilihat sebagai tidak berkesan sama ada untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi ataupun penurunan penarafan kredit antarabangsa Malaysia oleh Fitch Ratings. Jelas, suntikan fiskal RM11 bilion Pemerkasa tidak mencukupi untuk menghidupkan semula ekonomi apabila apa yang diperlukan ialah pemangkin ekonomi sebesar RM45 bilion.

Tambahan pula, kerajaan PN telah tersasar daripada sasaran pengangguran, pertumbuhan KDNK dan defisit Belanjawan mereka sendiri. Kementerian Kewangan mengunjurkan kadar pengangguran 2020 untuk meningkat kepada 4.2%, kadar pertumbuhan KDNK menguncup sebanyak 5.5% dan defisit Belanjawan meningkat kepada 6%. Namun, pengangguran meningkat kepada 4.5%, ekonomi menguncup 5.6% dan defisit Belanjawan berkembang sehingga 6.2%.

Walaupun terdapat senarai inisiatif-inisiatif kecil, Pemerkasa gagal untuk memberi inspirasi kerana masih berpegang pada paradigma lama iaitu bayaran sekaligus (one-off) dan bukannya bantuan berulang berterusan sehingga tamatnya krisis akibat Covid-19. Apa yang sudah terjadi kepada janji PN untuk meningkatkan bantuan bulanan kebajikan kepada RM1,000 termasuk kepada penganggur, 150,000 buah tablet dan komputer riba untuk para pelajar, pengeluaran KWSP sehingga RM10,000 dan pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank (kecuali T20)?

Walaupun DAP menyokong cadangan perluasan program vaksinasi massa Covid-19 dan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di peringkat negeri, kegagalan Muhyiddin untuk memansuhkan denda RM10,000 bagi pelanggaran SOP PKP amat mendukacitakan. Apa gunanya memberi bantuan one-off RM500 kepada individu dan geran one-off RM3,000 kepada perniagaan kecil apabila mereka boleh didenda RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk perniagaan?

Membantu sedikit dengan tangan kanan dan kemudiannya mengambil lebih banyak dengan tangan kiri tidak dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat. Kerajaan tidak harus hidup dalam penafian dan enggan menerima hakikat betapa seriusnya kemelesetan ekonomi ke atas rakyat biasa dan perniagaan Malaysia. Tidak banyak yang telah dilakukan untuk menyelamatkan industri pelancongan yang merekodkan kerugian RM100 bilion tahun lepas.

Oleh itu, kerajaan harus segera melaksanakan pakej ransangan ekonomi tambahan sebanyak RM45 bilion untuk membantu para penganggur, mewujudkan pekerjaan baru dan menyelamat pekerjaan sedia ada, memperlahankan penutupan perniagaan, memberi subsidi sewa kepada perniagaan, menangani krisis pendidikan dan menjana sumber baru untuk pertumbuhan masa depan.