Suntikan fiskal tambahan RM45 bilion ke dalam ekonomi yang dipersetujui oleh kerajaan dalam MOU antara Perdana Menteri dan PH tidak harus digunakan untuk tujuan politik bagi memenuhi projek peribadi mereka, tetapi perlu diberikan dalam bentuk geran kepada PKS, industri pelancongan dan pembinaan yang kerugian sebanyak RM213 bilion kerana pandemik COVID-19. Undang-undang yang diperlukan telah dibenarkan untuk diluluskan di Parlimen baru-baru ini untuk meningkatkan Dana Pembangunan COVID-19 sebanyak RM45 bilion serta menaikkan had hutang statutori kerajaan daripada 60% menjadi 65%.
Negara telah mencatatkan kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion sejak “total lockdown” pertama dilaksanakan tahun lalu. Menurut Jabatan Perangkaan, sektor yang paling teruk dilanda ialah sektor pelancongan dengan kerugian RM130 bilion pada tahun 2020 dan kerugian yang lebih tinggi dijangkakan tahun ini. Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof memberitahu Parlimen bahawa sektor pembinaan mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion semasa “lockdown” yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengatakan pada 29.7.2021 bahawa PKS telah mengalami kerugian sebanyak RM40.7 bilion pada tahun 2020. DAP telah mencadangkan agar pengecualian kadar faedah selama 3 bulan untuk 50% rakyat terbawah turut diberikan kepada PKS, yang berada dalam kesulitan kewangan, berikutan kegagalan pengurusan krisis berkembar nasional iaitu pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang diakibatkannya.
Sekalipun kerajaan tidak mahu mempertimbangkan pengecualian kadar faedah, mereka perlu mempertimbangkan pengurangan kadar faedah sekurang-kurangnya 2% untuk PKS, industri pembinaan dan pelancongan yang sedang tenat. Sementara itu, terdapat keperluan segera untuk menyalurkan dana RM45 bilion ini kepada PKS, industri pelancongan dan pembinaan secepat mungkin untuk meredakan kebimbangan bahawa dana ini mungkin digunakan untuk tujuan politik, terutamanya dengan pilihan raya negeri Melaka tidak lama lagi.