Skip to content

Surat bantahan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada SPR

BANTAHAN TERHADAP SYOR KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA BAGI NEGERI-NEGERI TANAH MELAYU UNTUK KESELURUHAN NEGERI PULAU PINANG

BANTAHAN-BANTAHAN AWALAN

Bantahan-bantahan yang difailkan tertakluk kepada dan tanpa menjejaskan hak kami untuk bergantung kepada isu-isu berikut yang hendaklah ditentukan dalam forum yang betul kerana boleh menjejaskan bidang kuasa (jurisdiction) Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menjalankan siasatan tempatan di bawah seksyen 4, 5 dan 6 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu Pihak kami ingin membuat bantahan-bantahan awalan berikut:-

  1. Bahawa dalam penyediaan syor-syor SPR bertarikh 15 September 2016 dan cadangan persempadanan semula tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan undang-undang dan bertentangan dengan perkara mandatori yang dinyatakan dalam perenggan 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang tidak diambil kira dan/atau tidak diikuti sebelum diputuskan untuk membuat syor-syor ini di bawah Fasal (2) Perkara 113.
  2. Bahawa syor-syor persempadanan semula untuk seluruh negeri Pulau Pinang melanggar peruntukan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan khususnya

    sub-sekysen 2(c) yang berbunyi:

    “bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;

    sub-seksyen 2(d) yang berbunyi

    “perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.”

    (Pihak kami akan bergantung dan merujuk kepada laporan pakar-pakar relevan dan dokumen-dokumen berkenaan yang akan dikemukakan pada tarikh pendengaran bantahan awalan)

  3. Bahawa notis bertarikh 15 September 2016 tidak menzahirkan kesan syor yang dicadangkan dan gagal untuk memberikan pendedahan penuh semua maklumat yang diperlukan bagi kami untuk membentangkan kes kami sepenuhnya dan secara berkesan. Cara maklumat disampaikan berkenaan kesan syor yang dicadangkan oleh SPR tidak munasabah dan tidak membolehkan mana-mana individu untuk memastikan bagaimana mereka terjejas.
  4. Bahawa masa adalah tidak mencukupi bagi kami untuk menyediakan bantahan-bantahan kami dalam masa 30 hari kerana kekurangan maklumat dan kesukaran yang dihadapi untuk melayari laman web SPR iaitu www.spr.gov.my.
  5. Bahawa terdapat kegagalan keadilan hak asasi.
  6. Mana-mana isu penting yang lain yang mungkin timbul sebelum, pada atau selepas siasatan tempatan tersebut.

Berdasarkan bantahan-bantahan awalan di atas, kami berpendapat bahawa Pihak SPR dan/atau cadangan syor-syor SPR telah:-

  1. bertindak secara ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang;
  2. tidak melaksanakan tugas seperti mana diwajibkan di bawah Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan;
  3. bertindak secara tidak rasional dan tidak munasabah dalam pengertiaan prinsip-prinsip dalam kes Associated Provincial Picture Houses Limited v Wednesbury Corporation (1948) 1 KB 223;
  4. telah gagal mengambil kira pertimbangan yang relevan; dan
  5. telah gagal menjunjung hak asasi;

dan pihak kami menyatakan bahawa penyediaan syor-syor tidak dilaksanakan mengikut undang-undang dan proses bantahan syor-syor berdasarkan di bawah seksyen 4, 5 dan 6 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan sepatutnya dianggap batal. Pihak kami meminta bahawa suatu keputusan diberi untuk bantahan-bantahan awalan di atas sebelum pendengaran bantahan-bantahan.

Seterusnya, butir-butir bantahan awalan akan dihuraikan semasa pendengaran lisan.

BANTAHAN-BANTAHAN

Bantahan-bantahan awalan yang dinyatakan di atas secara am kini diterima pakai dan diulangi sini sebagai bantahan-bantahan utama. Tambahan itu, terdapat beberapa bantahan selanjutnya yang ingin dihuraikan bagi membantah syor-syor yang dicadangkan oleh SPR dan persempadanan semula tersebut berdasarkan prinsip yang dinyatakan dalam Sub-Seksyen 2(c) dan 2(d) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:-

2. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117—

c. bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar Bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;

d. perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

Pihak kami akan merujuk kepada laporan pakar-pakar, dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang lain bersama dengan pernyataan media yang relevan. Pihak kami jika perlu akan memanggil saksi-saksi yang relevan.

1. Percanggahan dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan

SPR tidak menepati dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dibawah perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seperti berikut:-

(2) (i) Tertakluk kepada perenggan (ii), Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah, dari semasa ke semasa, sebagaimana yang difikirkannya perlu, mengkaji semula pembahagian Persekutuan dan Negeri-Negeri kepada bahagian pilihan raya dan mengesyorkan apa-apa perubahan mengenainya yang difikirkannya perlu supaya dipatuhi peruntukan yang terkandung dalam Jadual Ketiga Belas; dan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan-Dewan Undangan hendaklah dijalankan pada masa yang sama dengan kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan raya ke Dewan Rakyat.

(ii) Maka hendaklah ada lat tempoh tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula, dengan tarikh bermulanya kajian semula yang kemudiannya, di bawah Fasal ini.

(iii) Kajian semula di bawah perenggan (i) hendaklah disiapkan dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh bermulanya kajian semula itu.

Merujuk kepada perkara 113(2) tujuan menyempadankan bahagian-bahagian pilhan raya adalah untuk memperbetulkan apa-apa penyimpangan daripada pembahagian yang sekata dan berasakan hubungan tempatan dalam pilihan raya yang sebelum ini dan selaras dengan prinsip dalam perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna syor-syor yang dicadangkan sepatutnya mengurangkan pembahagian yang tidak sekata dan memelihara hubungan tempatan tetapi syor-syor yang dicadangkan oleh SPR telah membuat sebaliknya iaitu menambahburukkan pembahagian yang tidak sekata dan memutuskan hubungan tempatan.

Sila merujuk kepada “The Effects of the 2016 Delimitation Exercise on the State of Penang” yang disediakan oleh pengkaji-pengkaji di Penang Institute yakni Dr Wong Chin Huat, Yeong Pey Jung, Ooi Kok Hin dan Nidhal Mujahid. Pihak kami akan merujuk kepada laporan pakar-pakar, dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang lain bersama dengan pernyataan media yang relevan. Pihak kami jika perlu akan memanggil saksi-saksi yang relevan.

2. Pembahagian yang Tidak Sekata (malapportionment)

Penyediaan syor-syor (SPR) dan persempadanan semula tersebut tidak menunjukkan pariti dalam kalangan pemilih. Perenggan 2(c) Jadual Tiga Belas Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas mengatakan bahawa pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya suatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak bagi setiap Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Bahagian Pilihan Raya Negeri.

Dengan merujuk kepada syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Pulau Pinang sebagaimana yang telah dikaji semula oleh SPR dalam tahun 2016 dan berbanding dengan daftar pemilih yang digunapakai untuk kajian semula persempadanan, ia adalah jelas bahawa terdapat Pembahagian Tidak Sekata (malapportionment) yang lebih teruk antara bilangan pemilih dalam syor-syor yang dicadangkan berbanding dengan bilangan pemilih semasa.

Sebagai contoh, semasa Pilihanraya Umum Ke-13, bahagian pilihanraya Persekutuan yang paling ramai pemilihnya iaitu P051 Bukit Gelugor mempunyai seramai 81,897 orang pemilih. Ini adalah 1.65 kali daripada jumlah pemilih di bahagian pilihanraya Persekutuan yang paling kurang pemilihnya, P053 Balik Pulau, yakni, 49,641. Jika syor-syor SPR diterima, maka bahagian pilihanraya Perseketuan yang paling ramai pemilihnya iaitu P051 Bukit Gelugor akan mempunyai seramai 84,755 ataupun 1.68 kali daripada jumlah bahagian pilihanraya Persekutuan yang paling kurang pemilihnya, P050 Tanjung, yakni 50,324.

Yang lebih tidak masuk akal ialah perbezaan bilangan pemilih di kalangan bahagian -bahagian pilihanraya Negeri. Bahagian yang paling ramai pemilih, iaitu N34 Paya Terubong mempunyai seramai 41,707 orang pemilih, ataupun 3.27 kali daripada jumlah pemilih daripada bahagian yang paling kurang pemilih, N23 Air Putih, 12,752. Apakah SPR menganggap bahawa 3.27 itu “lebih kurang sama banyak” dengan 1 dalam kes ini? Memandangkan kedua-dua bahagian ini bersebelahan, ketidakseimbangan ini boleh dikurangkan dengan mudah. Akan tetapi, SPR tidak berusaha untuk mengurangkan pembahagian tidak sekata ini malah menambahburukkan keadaan dengan memindah masuk pemilih ke N34 Paya Terubong dan memindah keluar pemilih dari N23 Air Putih.

Ingin ditekan di sini, P050 Tanjung dan N23 Air Putih tidak mempunyai keluasan kawasan yang besar untuk melayakkan perwakilan berlebihan (over-representation) di bawah sub-seksyen 2(c), Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan SPR untuk membetulkan pembahagian tidak sekata dalam syor-syor persempadanan semula menunjukkan SPR langsung tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan bertindak sewenang-wenangnya.

Sila merujuk kepada “The Effects of the 2016 Delimitation Exercise on the State of Penang” yang disediakan oleh pengkaji-pengkaji di Penang Institute yakni Dr Wong Chin Huat, Yeong Pey Jung, Nidhal Mujahid dan Ooi Kok Hin. Pihak kami akan merujuk kepada laporan pakar-pakar, dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang lain bersama dengan pernyataan media yang relevan. Pihak kami jika perlu akan memanggil saksi-saksi yang relevan.

3. Penjejasan Pemeliharaan Hubungan Tempatan

Kami mendapati terdapat hubungan tempatan telah dijejaskan oleh Syor-syor SPR dalam tiga keadaan.

Pertama, dalam kes N18 Bukit Tambun, N36 Pantai Jerejak dan N39 Pulau Betong, syor-syor SPR telah melanggari sempadan untuk daerah pentadbiran yang merupakan sebahagian daripada asas hubungan tempatan kerana banyak agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti Pendidikan, Kesihatan, Polis, Kerja Raya dan Kebajikan beroperasi dan diorganisasikan mengikut daerah daerah pentadbiran dan mencorakkan atau mencermini mutu kehidupan awam.

Kedua, dalam kes N34 Paya Terubong, N24 Kebun Bunga dan N14 Machang Bubuk sekurang-kurangnya, komuniti-komuniti tempatan yang tidak berkongsi kepentingan bersama termasuk yang terpisah oleh hutan dan bukit dimasukkan dalam bahagian pilihanraya yang sama.

Ketiga, dalam semua bahagian pilihanraya Negeri kecuali N09 Bagan Dalam dan N21 Sungai Acheh, didapati hubungan tempatan terjejas apabila komuniti tempatan dipisahkan oleh sempadan bahagian pilihanraya. Ini merumitkan perwakilan politik apabila jiran yang menghadapi masalah yang sama terpaksa mencari wakil perwakilan yang berlainan. Nyata sekali, SPR tidak mempertimbangkan masalah “kesulitan” seperti yang dikehendaki oleh sub-seksyen 2(d).

Sila merujuk kepada “The Effects of the 2016 Delimitation Exercise on the State of Penang” yang disediakan oleh pengkaji-pengkaji di Penang Institute yakni Dr Wong Chin Huat, Yeong Pey Jung, Nidhal Mujahid dan Ooi Kok Hin. Pihak kami akan merujuk kepada laporan pakar-pakar, dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang lain bersama dengan pernyataan media yang relevan. Pihak kami jika perlu akan memanggil saksi-saksi yang relevan.

4. Cadangan Persempadanan Semula yang lebih memenuhi kehendak Perkara-Perkara Perlembagaan Persekutuan

Syor-syor yang dicadangkan oleh SPR adalah tidak munasabah memandangkan bahawa syor-syor yang lebih efektif dan yang mematuhi dan memenuhi kehendak Perkara-Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dan mudah dilaksanakan.

Dengan itu, kami di sini memohon untuk suatu pendengaran lisan untuk membolehkan kami menerangkan dan melanjutkan bantahan-bantahan kami di atas dan juga untuk memberi bukti bagi menyokong kepada yang sama dan untuk membuat mana-mana bantahan yang selanjutnya.

YAB Lim Guan Eng
Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang