Skip to content

Surat kepada JKKK oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng

6 Disember 2016

Salam sejahtera,

KENAIKAN ELAUN PENGERUSI DAN SETIAUSAHA JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KOMUNITI (JKKK)

Negara Malaysia dan Pulau Pinang menghadapi krisis ekonomi dalaman ekoran pendedahan skandal 1MDB sebanyak RM52 billion, penurunan nilai mata wang ringgit secara mendadak, kenaikan harga barangan daripada minyak masak ke minyak petrol, pelaksanaan GST dan “siasatan rakus” audit cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kesemua faktor ini telah mengurangkan aliran dana dalam pasaran kewangan dan ekonomi yang menyebabkan perniagaan menurun dan kekangan wang belanja bagi rakyat. Suasana dijangka menjadi lebih teruk lagi pada tahun 2017.

Justeru, Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan program dan projek pembangunan berimpak tinggi kepada rakyat pada tahun 2017. Antaranya ialah projek jalan sebanyak RM57.57 juta dan projek tebatan banjir Kerajaan Negeri berjumlah RM220 juta. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi pengecualian cukai pintu kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung/ bertanah, potongan cukai pintu sebanyak 6% untuk semua hartanah lain dan pengecualian bayaran GST bagi perkhidmatan MBPP dan MPSP yang akan menjimatkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sebanyak RM55.19 juta. Program-program kesejahteraan rakyat seperti inisiatif Pulau Pinang bebas denggi turut akan dilaksanakan.

Program dan projek pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri perlu dinikmati oleh rakyat di peringkat akar umbi. Justeru, Kerajaan Negeri sedar akan peranan penting yang dimainkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) sebagai penyelaras pelaksanaan dasar, program dan projek pembangunan di dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, inisiatif Pulau Pinang bebas denggi tidak akan berjaya sekiranya JKKK tidak memainkan peranan memastikan kawasan komuniti sentiasa bersih.

Dalam dunia yang serba mencabar dan bergerak pantas, peranan JKKK amat penting sebagai perantara/ perhubungan dua hala di antara ADUN kawasan dan Pegawai Kerajaan dengan rakyat. JKKK diperlukan sebagai penggerak untuk mengembleng tenaga dan perubahan sikap masyarakat. JKKK juga berperanan sebagai mulut, mata dan telinga bagi Kerajaan Negeri.

Sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi Pengerusi dan Setiausaha, elaun bulanan akan dinaikkan sebanyak RM50 daripada RM650 kepada RM700 untuk Pengerusi dan RM550 kepada RM600 untuk Setiausaha. Ini akan menambahkan kos sebanyak RM358,800.00 kepada RM6,857,200.00 setahun. Kenaikan elaun ini juga bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi berikutan keadaan ekonomi yang gawat pada masa ini.

Bagi ahli JKKK biasa, elaun mesyuarat akan ditambah RM10 daripada RM40 sebulan kepada RM50 sebulan. Ini akan menambahkan kos sebanyak RM38,870.00 kepada RM466,440.00 setahun. Langkah ni akan memastikan ahli JKKK tidak tercicir daripada layanan yang sepatutnya daripada Kerajaan Negeri.

Untuk memperkasakan JKKK, Kerajaan Negeri turut memutuskan syarat penglibatan sekurang-kurangnya seorang wanita dalam setiap JKKK. Ia juga merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri ke atas peranan wanita. Justeru, ADUN Kawasan dipohon untuk turut sama menjayakan usaha ini.

Akhir sekali, Kerajaan Negeri berharap peningkatan kadar elaun bulanan ini akan menjadi pembakar semangat kepada JKKK untuk terus memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang