PSUKPP/21/0352/16(0074/2014)
10 Januari, 2014
YBhg. Tan Sri Abu Kassim Bin Mohamed
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Ibu Pejabat SPRM
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000
62007 PUTRAJAYA
YBhg. Tan Sri,
KENYATAAN MEDIA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) – SPRM BERTINDAK BEBAS, TELUS DAN PROFESIONAL
Dengan hormatnya saya merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak YBhg. Tan Sri bertarikh 5 Januari 2014 berkenaan perkara tersebut di atas.
2. Dimaklumkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak tuan pada 5 Januari 2013 yang mendakwa SPRM telahpun mengambil tindakan ke atas pembaziran wang rakyat yang melibatkan RM6.5 bilion melalui pendedahan yang dibuat dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2012, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah membuat semakan dengan YB Dr. Tan Seng Giaw dan telah difahamkan oleh beliau bahawa sehingga kini tiada tindakan tegas diambil oleh pihak SPRM ke atas mereka-mereka yang menyalahgunakan wang rakyat.
3. Dalam pada itu, dalam kenyataan media yang sama juga, SPRM menyatakan bahawa SPRM tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang SPRM sedang menyiasat isu pembelian Mercedes-Benz S300L oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sekali lagi, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk mengalu-alukan pihak SPRM membuat sebarang siasatan ke atas pembelian Mercedes-Benz S300L untuk kegunaan rasmi saya. Kerajaan Negeri dan saya sendiri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak YBhg. Tan Sri kerana Kerajaan Negeri melaksanakan urus tadbir yang bersih dan tidak ada sebarang unsur yang perlu disembunyikan.
4. Semoga perkara ini mendapat perhatian serius daripada YBhg. Tan Sri dan maklum balas awal YBhg. Tan Sri berhubung perkara ini adalah dinantikan. Segala perhatian dan kerjasama YBhg. Tan Sri amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang