Skip to content

Surat kepada Menteri Kewangan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak

PSUKPP/21/0353/26 Klt. 2 (1)

4 Mac, 2015

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Menteri Kewangan Malaysia
Kompleks Kementerian Kewangan
No. 5, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62592 PUTRAJAYA

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

PENGECUALIAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN ATAU GOODS AND SERVICES TAX (GST) TERHADAP PROJEK-PROJEK KERAJAAN YANG DILAKSANAKAN UNTUK MANFAAT DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Dengan hormatnya kami ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri tentang masalah projek-projek Kerajaan Negeri turut dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) sebanyak 6% mulai 1 April 2015.

2. Projek Kerajaan Negeri yang dilaksanakan untuk kegunaan awam seperti jalan raya, longkang, dewan orang ramai, rumah mampu milik dan perumahan awam, taman rekreasi serta gelanggang futsal dan sukan adalah suatu ‘public good’ yang bukan laba (non-profit). Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan caj GST yang dikenakan terhadap projek-projek Kerajaan Negeri yang dilaksanakan bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

3. Ini berikutan dalam perolehan projek-projek Kerajaan, pembida-pembida akan memasukkan sekali caj 6% GST dalam kos pembinaan projek tersebut. Ini akan menyebabkan rakyat biasa terpaksa menanggung kos tambahan berkenaan dan ekoran daripada penambahan kos tersebut akan mengurangkan keupayaan untuk menjalankan lebih banyak projek awam.

4. Kami merasakan caj GST bagi projek-projek Kerajaan seperti projek-projek infrastruktur yang dinyatakan adalah tidak wajar sama sekali memandangkan projek-projek ini bukanlah bertujuan untuk meraih keuntungan. Kami berikan contoh, tender bagi projek untuk menghubungkan Jalan Bunga Hinai dan Jalan Bunga Kaca Piring di Pulau Pinang yang dilampirkan bersama.

5. Dalam perincian tender tersebut, kos untuk pakej projek berkenaan adalah RM2.33 juta, di mana daripada jumlah kos tersebut, RM112,680 dinyatakan sebagai caj GST. Sekaligus, menyebabkan peruntukan tambahan sebanyak RM112,680 yang sepatutnya boleh diguna untuk melaksanakan projek infrastruktur yang lain, terpaksa dibelanjakan bagi caj GST sahaja.

6. Ianya merupakan satu kerugian kepada rakyat Negeri
Pulau Pinang kerana akan mengurangkan projek-projek awam atau ‘public good’ sebanyak 6%. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berharap agar projek-projek awam Kerajaan untuk manfaat rakyat tidak sepatutnya dikenakan caj GST. Namun, sekiranya pelaksanan ini masih diteruskan, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dapat membayar balik atau memulangkan caj GST yang dikenakan kepada Kerajaan Negeri semula.

7. Semoga YAB Dato’ Sri boleh mempertimbangkan permintaan kami agar mengecualikan caj 6% GST ke atas projek-projek Kerajaan yang dilaksanakan untuk manfaat dan kepentingan rakyat atau Kerajaan Persekutuan membayar balik caj GST yang dikenakan ke atas projek-projek yang dimaksudkan kepada Kerajaan Negeri semula.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang