PSUKPP/21/0353/3 Klt. 2 (1)
23 Mac, 2015
Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Malaysia
Kementerian Pengangkutan Malaysia
Pejabat Menteri, Aras 10
No. 26, Jalan Tun Hussein
Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA
[No. Faks: 03 – 8888 0217]
Yang Berhormat Dato’ Sri,
MEMBANTAH KENAIKAN TAMBANG PERKHIDMATAN FERI PULAU PINANG OLEH PENANG PORT SDN. BHD. (PPSB) SEDANGKAN MUTU PENGURUSAN DAN PERKHIDMATAN KURANG MEMUASKAN
Dengan hormatnya kami ingin menyatakan bantahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke atas kenaikan tambang perkhidmatan feri Pulau Pinang oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) yang akan menjejaskan golongan bawahan dengan teruk, lebih-lebih lagi apabila mutu perkhidmatan masih belum dipertingkatkan dan masih kurang memuaskan.
2. Yang Berhormat Dato’ Sri telah memaklumkan hasrat Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk menaikkan tambang feri berikutan kerugian besar dalam mengendalikan perkhidmatan feri sebanyak RM23 juta dalam tahun 2013. Hal ini turut diakui oleh Pengerusi PPSB, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman yang menyatakan bahawa perkhidmatan feri telah mengalami kerugian secara purata setiap tahun sebanyak RM20 juta untuk beberapa tahun ini.
3. Dimaklumkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan pendirian bahawa kami membantah cadangan SPPP untuk menaikkan tambang feri bagi menampung kerugian yang dialami oleh PPSB. Mengikut cadangan tambang baru itu, pemilik kereta akan dikenakan tambang RM9.00 daripada RM7.70 sekarang, iaitu kenaikan sebanyak RM1.30. Tambang motosikal akan dinaikkan sebanyak RM1.50 daripada RM2.00 kepada RM3.50.
4. Di sini dapat dilihat bahawa kenaikan tambang motosikal adalah lebih tinggi daripada tambang kereta. Senario kenaikan harga ini akan memberikan impak dan tekanan terhadap orang yang kurang berkemampuan kerana rata-rata mereka menggunakan motosikal. Untuk itu, kami berpandangan adalah tidak adil mereka yang sedia miskin dan berpendapatan rendah dibebani dengan kenaikan tambang baru ini. Walau bagaimanapun, kenaikan tambang feri untuk semua penumpang adalah sukar untuk diterima kerana ianya sungguh tidak munasabah sama sekali.
5. Ini adalah kerana pengurusan yang lemah menyebabkan PPSB mengalami kerugian. PPSB sepatutnya meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan feri sedia ada yang dilihat kurang memuaskan sebelum menimbang sebarang kenaikan tambang feri untuk mod pengangkutan penghubung penting antara kawasan Pulau dan Seberang Perai. Sekiranya prestasi pengurusan dipertingkatkan dan kos dikurangkan, maka pengguna sendirinya akan bertambah yang mana secara langsung akan menambahkan pendapatan dan keuntungan.
6. Kerajaan Negeri sememangnya mempunyai pengalaman menyelamatkan organisasi bermasalah ataupun hampir bankrap seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang mengalami defisit tujuh (7) tahun berturut-turut sehingga hilang lebih RM230 juta secara terkumpul dalam tempoh tujuh (7) tahun itu. PPSB tidak sepatutnya mencari jalan mudah untuk menaikkan tambang feri demi menampung kerugian besar yang dialami olehnya setiap tahun. Pengerusi PPSB, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman juga menegaskan selepas kenaikan tambang feri dibuat, PPSB tetap akan mencatat kerugian sebanyak RM17 juta setahun.
7. Sehubungan itu, dalam usaha mengelak masalah kenaikan tambang feri yang akan membebankan pengguna perkhidmatan feri khususnya golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan feri daripada PPSB dengan syarat ianya dibuat secara bersih sebagai entiti baru yang tidak terikat dengan sebarang kontrak atau perjanjian lama. Pengambilalihan pengurusan perkhidmatan feri ini perlu dibuat secara bersih tanpa dibebankan oleh sebarang tanggungan liabiliti perkhidmatan feri oleh pengurusan lama serta diberikan lesen untuk membeli dan mengusahakan 30 buah lagi feri atau kenderaan air. Kami bersedia menanggung apa-apa kerugian pengurusan selepas ini.
8. Ekoran itu, kami berharap Yang Berhormat Dato’ Sri memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan feri daripada PPSB. Sekiranya Kerajaan Negeri boleh mengusahakan perkhidmatan feri sebagai entiti baru, kami yakin berkemampuan menguruskan perkhidmatan feri dengan baik tanpa kerugian besar dan yang penting sekali tanpa menaikkan tambang feri. Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan ikon pelancongan negeri ini yang telah beroperasi sejak 1894 terus bertahan dan beroperasi sebagai simbol ‘Pulau Mutiara’.
9. Jawapan daripada YB Dato’ Sri amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang
s.k. :
[1] YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek
Pengerusi
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP)
Aras 2, Swettenham Pier Cruise Terminal
No. 1A, Pesara King Edward
10300 George Town
PULAU PINANG