Skip to content

Surat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng

PSUKPP/21/0353/46(36)

21 Disember 2016

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menara MITI, No. 7,
Jalan Sultan Haji Ahmad Shah,
50480 KUALA LUMPUR

Yang Berhormat Dato’ Sri,

LANGKAH BANK NEGARA MALAYSIA MEMAKSA PENGEKSPORT MENUKAR 75% DARIPADA HASIL PEROLEHAN EKSPORT MATA WANG ASING KEPADA RINGGIT MALAYSIA MEMUDARATKAN IKLIM PELABURAN DI PULAU PINANG DAN MALAYSIA

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menarik perhatian Yang Berhormat Dato’ Sri berkenaan dengan pengumuman oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung inisiatif untuk mengembangkan pasaran kewangan di luar negara, sehingga menimbulkan kebimbangan kepada Kerajaan Negeri dan para pengeksport bahawa langkah FMC ini akan memudaratkan iklim pelaburan dan mengurangkan jumlah pelaburan asing yang masuk ke Malaysia.

2. Dalam pengumuman yang dikeluarkan pada 2 Disember 2016, FMC telah membuat ketetapan bagi pengeksport seperti berikut:

“Pengeksport boleh menyimpan sehingga 25% daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing. Mereka boleh mempunyai baki yang lebih tinggi, dengan kelulusan Bank Negara Malaysia, untuk memenuhi obligasi mereka dalam mata wang asing. Pembayaran oleh pengeksport pemastautin untuk penyelesaian perdagangan dalam negeri bagi barangan dan perkhidmatan kini perlu dibuat sepenuhnya dalam ringgit.” – petikan kenyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia

3. Melalui maklum balas awal yang diterima daripada pengusaha industri, ketetapan yang dibuat oleh FMC ini akan merumitkan pengeksport yang menggunakan mata wang asing terutamanya Dolar Amerika Syarikat (USD) dalam urusan jual beli antarabangsa dan sebagai lindung nilai semula jadi untuk mengurangkan kos dan harga mereka. Walaupun pengeksport dari Malaysia menerima hasil jualan eksport dalam mata wang asing, mana-mana input pengeluaran yang diimport juga adalah dalam mata wang asing. Meskipun pemastautin (bukan hanya pengeksport) dibenarkan untuk melaksanakan lindung nilai (hedging) mata wang asing bersamaan dengan nilai import sebanyak 6 bulan dan untuk obligasi hutang mata wang asing, ketetapan FMC ini masih merumitkan urusan perniagaan (ease of doing business) dan meningkatkan kos bagi para pengeksport.

4. Kerajaan Negeri ingin menyampaikan kebimbangan bahawa dengan ketetapan oleh FMC ini, urusan jual beli antarabangsa di Malaysia akan menjadi lebih rumit dan akan menjadi satu faktor yang mampu mengurangkan daya saing Malaysia dan mengurangkan daya tarikan kepada pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan untuk 18 tahun berturut-turut dari 1998-2015.

5. Kerajaan Negeri juga ingin menarik perhatian Yang Berhormat Dato’ Sri bahawa beberapa persatuan perdagangan dan pengusaha industri juga telah menyatakan kebimbangan mereka berkenaan dengan ketetapan FMC ini, dan telah mencadangkan supaya ketetapan sebanyak 75% daripada jumlah hasil eksport perlu ditukar kepada Ringgit Malaysia dimansuhkan atau ditukarkan kepada peratusan yang lebih rendah dan munasabah sebanyak 25%. Pengusaha-pengusaha industri turut perlu berdepan dengan cabaran-cabaran perniagaan dan persaingan daripada negara lain dan tidak harus dibebankan dengan langkah ini.

6. Kerajaan Negeri berharap agar Yang Berhormat Dato’ Sri dapat menyakinkan Bank Negara Malaysia agar mempertimbangkan perkara ini dan menyampaikan kebimbangan pengusaha industri. Kerjasama dan perhatian Yang Berhormat Dato’ Sri dan pihak Kementerian dalam memperkasakan industri negara didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang Ikhlas,

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang