PSUKPP/21/0752/2 Klt.10 (52)
26 Mac, 2015
YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
Jabatan Peguam Negara
No. 45, Persiaran Perdana
Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA
YBhg. Tan Sri,
PENJELASAN BERKENAAN PERSETUJUAN TERHADAP PERTUDUHAN ALTERNATIF DAN PENGAKUAN SALAH YANG DIMASUKI OLEH 16 TERTUDUH DI DALAM KES JENAYAH NO. 85-08-06/2014 DAN 85-11-11/2014 DI MAKAMAH MAJISTRET GEORGE TOWN, PULAU PINANG PENDAKWA RAYA LAWAN DATUK MOHD RIDZWAN BIN BAKAR DAN 15 LAGI PADA 11 MAC 2015
Dengan segala hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas dan ingin menyatakan perasaan kesal Kerajaan Negeri terhadap persetujuan pihak YBhg. Tan Sri membenarkan pertuduhan alternatif yang lebih ringan ke atas 16 orang tertuduh yang bertindak liar dan biadap semasa mencerobohi dan mencemarkan Dewan Mesyuarat, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
2. Difahamkan kesemua 16 orang tertuduh telah, pada asalnya dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan untuk kesalahan mencerobohi rumah (house trespass) berkaitan dengan insiden pencerobohan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada
21 Mei 2014.
3. Seterusnya, kami difahamkan bahawa setelah rundingan dengan pihak Ketua Unit Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, satu pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan telah ditawarkan kepada kesemua 16 orang tertuduh. Pada 11 Mac 2015 mereka telah mengaku salah kepada pertuduhan alternatif tersebut dan Makahmah Majistret George Town telah mengenakan hukuman denda RM1,500.00 terhadap 15 orang tertuduh dan RM1,000.00 terhadap seorang (1) tertuduh.
4. Kami ingin mendapat penjelasan daripada YBhg. Tan Sri, mengapakah pihak pendakwaan telah bersetuju menawarkan pertuduhan alternatif ini terhadap tertuduh tersebut, memandangkan ianya adalah terlalu ringan yang tidak setimpal dengan jenayah berat yang dilakukan mereka?
5. Kesalahan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah begitu serius dan satu penghinaan besar kepada simbol demokrasi yang merupakan institusi paling unggul dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah satu institusi yang seharusnya diberikan penghormatan yang tertinggi, oleh yang demikian penawaran pertuduhan alternatif tersebut adalah tidak wajar dan susah untuk diterima sama sekali.
6. Kami juga ingin mendapat penjelasan samada pengadu dalam kes ini, iaitu Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Law Choo Kiang telah memberi pandangannya sebelum hukuman dijatuhkan.
7. Memandangkan keseriusan kesalahan yang telah berlaku tersebut, kami berharap agar penjelasan dapat diberikan terhadap pertanyaan kami ini.
8. Di dalam apa keadaan jua, kami berpendapat bahawa keluhuran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah dicabuli dengan serius. Oleh yang demikian, hukuman yang telah dijatuhkan adalah tidak memadai dan tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Kami juga berharap YBhg. Tan Sri dapat membuat rayuan hukuman ke Makamah Tinggi Pulau Pinang terhadap keputusan tersebut.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang
s.k. :
[1] Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Aras 10, Bangunan Persekutuan
Jalan Anson
10400 PULAU PINANG