Skip to content

Surat kepada Pemangku Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

PSUKPP/21/0353/3(3288/2013)

26 November, 2013

YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Pemangku Menteri Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan Malaysia
Blok D5, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62616 PUTRAJAYA

YB Datuk Seri,

1) PERMOHONAN PEMBESARAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA PULAU PINANG ATAU PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG YANG BARU DI PULAU PINANG

2) KEADAAN KURANG MEMUASKAN DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA PULAU PINANG SETIAP KALI HUJAN

Dengan hormatnya saya ingin menarik perhatian YB Datuk Seri berhubung perkara tersebut di atas.

2. Dimaklumkan bahawa kebanjiran pelancong asing dan tempatan ke Negeri Pulau Pinang amatlah memberangsangkan. Pertumbuhan kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat dari lapan (8) hingga sembilan (9) peratus pada tahun 2012 ke 14 peratus sehingga Oktober 2013 dengan catatan seramai 4.4 juta orang pelancong untuk tempoh sepuluh (10) bulan pertama tahun ini. Jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini dijangka mencapai di antara 5.2 hingga 5.5 juta orang pada akhir tahun ini.

3. YB Datuk Seri sedia maklum bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hanya mampu menampung kapasiti pengguna seramai lima (5) juta orang sahaja. Maka, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bimbang dengan jumlah pelancong ke negeri ini yang dijangka terus meningkat lebih sepuluh (10) peratus tahun demi tahun, LTAPP tidak mampu menampung jumlah kedatangan pelancong yang berpusu-pusu di mana akan menyebabkan kesesakan serta keadaan kurang selesa kelak. Ini akan mencemarkan imej antarabangsa negara dan
Negeri Pulau Pinang.

4. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon agar YB Datuk Seri dapat mempertimbangkan agar LTAPP diperbesarkan lagi dengan satu ‘runway’ baru. Ada tanah yang mencukupi di sekitar LTAPP yang sedia ada untuk tujuan tersebut. Kerajaan Negeri sedia untuk berunding dengan pihak YB Datuk Seri berkenaan perkara ini dengan lebih lanjut lagi.

5. Saya juga ingin merujuk kepada masalah banjir kilat dalam LTAPP pada setiap kali hujan lebat. Dalam pada itu, pihak saya juga telah menulis surat kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad pada 12 September 2013 (No. Ruj. PSUKPP/21/0957/3(2490/2013) berkenaan masalah tersebut. Bukan itu sahaja, malah tempat letak kereta LTAPP juga dipenuhi air akibat hujan lebat, berkemungkinan besar oleh sistem perparitan yang tidak sempurna.

6. Memandangkan LTAPP merupakan antara lapangan terbang utama negara dan Pulau Pinang adalah destinasi pilihan pelancongan utama, maka saya mengharapkan agar pihak YB Datuk Seri mengambil tindakan segera. Kegagalan mengatasi masalah ini akan memberikan reaksi negatif kepada pengguna serta menjejaskan imej Negeri Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya.

7. Sehubungan itu, saya berharap YB Datuk Seri dapat memberi perhatian khusus terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pihak saya. Segala kerjasama dan jasa baik YB Datuk Seri amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang