PSUKPP/21/0353/(37)
10hb Januari 2017
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan
Jabatan Perdana Menteri
Blok Utama, Kompleks Jabatan Perdana Menteri
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA
(FAX: 03-8888 3444)
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,
LANGKAH BANK NEGARA MALAYSIA MEMAKSA PENGEKSPORT MENUKAR 75% DARIPADA HASIL PEROLEHAN EKSPORT MATA WANG ASING KEPADA RINGGIT MEMUDARATKAN IKLIM PELABURAN DI PULAU PINANG DAN MALAYSIA
Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menarik perhatian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri berhubung pengumuman pada 2 Disember 2016, berkenaan ‘Inisiatif untuk Membangunkan Pasaran Kewangan di Dalam Negeri’ yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), yang menimbulkan kebimbangan para peniaga, pedagang dan pengeksport terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik. Lebih-lebih lagi, ketetapan ini tidak berkesan untuk mengelakkan nilai Ringgit daripada terus susut berbanding Dolar Amerika (USD), yang baru-baru ini telah jatuh ke paras RM4.50.
2. Ketetapan FMC ini mempunyai potensi untuk memudaratkan iklim pelaburan dan mengurangkan jumlah pelaburan asing (FDI) yang masuk ke Malaysia kerana ketetapan ini secara tidak langsung akan meningkatkan pendedahan kepada risiko kerugian pertukaran wang asing dan kos transaksi kepada mereka yang sering menggunakan mata wang asing dalam pelbagai urusan kewangan. Ini berkaitan dengan keperluan pengeksport untuk menukar sekurang-kurangnya 75% hasil perolehan eksport dalam mata wang asing kepada Ringgit, berkuatkuasa 5 Disember 2016.
3. Maklum balas daripada pengusaha industri elektrik dan elektronik menunjukkan ketetapan yang dibuat oleh FMC ini akan merumitkan lagi pengeksport yang menggunakan mata wang asing terutamanya dolar Amerika Syarikat (USD) dalam urusan jual beli antarabangsa dan sebagai lindung nilai (hedging) untuk mengurangkan kos dan harga mereka. Walaupun pengeksport dari Malaysia menerima hasil jualan eksport dalam mata wang asing, mana-mana input pengeluaran yang diimport juga perlu dibayar dalam mata wang asing.
4. Dalam erti kata lain, pengeksport perlu menghadapi kedua-dua kos transaksi dan juga kerugian akibat daripada penyusutan nilai mata wang asing apabila pertukaran ulang-alik antara Ringgit dan mata wang asing seperti USD dilakukan untuk memenuhi permintaan eksport apabila mata wang bergerak secara bertentangan. Meskipun pengeksport dibenarkan untuk melaksanakan lindung nilai mata wang asing bersamaan dengan nilai import sebanyak 6 bulan dan untuk obligasi hutang mata wang asing, ketetapan terbaru FMC ini masih merumitkan urusan perniagaan (ease of doing business) dan meningkatkan kos bagi para pengeksport.
5. Kerajaan Negeri ingin menyampaikan kebimbangan bahawa dengan ketetapan oleh FMC ini, urusan jual beli antarabangsa yang menggunakan mata wang asing di Malaysia akan menjadi lebih rumit dan mungkin menjadi satu faktor yang mengancam daya saing Malaysia serta mengurangkan daya tarikan pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Malaysia hanya mencatatkan peningkatan eksport yang sangat rendah sebanyak 0.5% pada 2016, tahun ke tahun, hanya kerana eksport Malaysia meningkat 7.8% pada November 2016, tahun ke tahun. Sebab kenapa industri elektrik dan elektronik begitu mustahak menjadi jelas apabila melihat peningkatan industri ini sebanyak 13.2% menyumbangkan 36% daripada jumlah eksport pada November 2016.
6. Kerajaan Negeri telah menerima aduan daripada industri elektrik dan elektronik berkenaan dengan ketetapan FMC ini. Walaupun tiada syarikat multinasional asing yang menunjukkan bahawa mereka akan berpindah keluar dari Malaysia akibat daripada ketetapan FMC ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bimbang ketetapan baru ini akan menjejaskan kemasukan pelaburan baru asing.
7. Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri ingin menyarankan supaya ketetapan FMC ini dimansuhkan sepenuhnya atau jika dianggap perlunya untuk mengenakan ketetapan ini, diminta kadarnya dikurangkan kepada peratusan yang lebih rendah seperti 25% daripada hasil perolehan eksport. Apatah lagi, Ringgit terus mengalami kemerosotan nilai meskipun ketetapan-ketetapan telah diambil, menunjukkan langkah-langkah ini tidak berkesan pada tahap positif dan pada tahap negatif lagi mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding faedah kepada suasana pelaburan. Kami juga ingin menarik perhatian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri bahawa beberapa persatuan perdagangan dan pengusaha industri juga telah mengeluarkan kenyataan untuk menyeru Kerajaan Pusat untuk mengkaji semula ketetapan FMC ini.
8. Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Pembuatan Nikkei Malaysia menunjukkan penyusutan pada 47.1 mata pada Disember dan ini adalah penyusutan bagi 21 bulan berturut-turut. (PMI lebih rendah daripada 50 adalah penyusutan). Ini menunjukkan kelembapan bidang pembuatan yang berterusan, yang berpunca daripada permintaan asing dan domestik yang lebih rendah.
9. Sebenarnya, Indeks Permintaan Eksport yang baru (satu komponen dalam PMI) menunjukkan penurunan bagi bulan ketujuh berturut-turut pada bulan Disember. “Persaingan global yang lebih sengit dan kelembapan ekonomi dunia adalah antara sebab-sebab yang diberikan mengakibatkan penurunan indeks tersebut,” jelas laporan Nikkei PMI yang terkini.
10. Kerajaan Negeri berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan membuat pertimbangan untuk mengawal dan mengurangkan impak ketetapan terbaru ini untuk melindungi kepentingan pelaburan dan kesejahteraan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia. Terima kasih.
Yang ikhlas,
LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang