PSUKPP/21/0353/20 Klt.4 (59)
23 Disember, 2015
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA
[No. Faks: 03 – 8888 3444]
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,
PERMOHONAN KELULUSAN PERUNTUKAN RM997 JUTA DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KE-11 BAGI NEGERI PULAU PINANG – PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR (RTB) DI BAWAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan surat permohonan yang sama sebelum ini bil. PSUKPP/21/0353/20 Klt.4 (50) bertarikh 9 Oktober 2015 adalah berkaitan.
2. Sukacita dimaklumkan bahawa, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang telah memohon peruntukan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi Negeri Pulau Pinang. Permohonan kelulusan peruntukan ini berjumlah RM997 juta berbanding permohonan sebelum ini berjumlah RM805 juta. Pindaan permohonan peruntukan ini adalah berpandukan kepada beberapa pertambahan skop di bawah RTB Lembangan Sungai Pinang dengan mengambilkira kos bagi perobohan struktur sedia ada, pembinaan sistem pemantauan banjir, menaiktaraf terowong air di cabang Sungai Pinang dan pengindahan koridor sungai. Bersama-sama ini disertakan senarai permohonan peruntukan di bawah RMK11 yang telah dipinda dan dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (Lampiran A).
3. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, peruntukan ini dipohon bagi mengurangkan kejadian banjir dan masalah banjir kilat di kawasan-kawasan penempatan rendah, kesan akibat banjir secara struktur dari aspek pengurangan bilangan penduduk terjejas, kerosakan harta benda dan kerosakan kemudahan awam dalam lembangan sungai. Selain daripada itu, tujuan peruntukan ini dipohon untuk meningkatkan kualiti dan keselesaan hidup penduduk setempat dan seterusnya menaiktaraf sosio ekonomi.
4. Untuk makluman tambahan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, Kerajaan Negeri telah menyelesaikan isu penempatan semula penduduk yang terlibat dalam projek RTB Sungai Pinang dalam RMK10. Oleh itu, diharap dengan kelulusan permohonan RMK11 bagi pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang, banyak faedah akan dapat dirasai penduduk yang mendiami lembangan tersebut dengan mewujudkan semula alam sekitar yang bersih, sihat dan produktif. Selain itu, melalui projek ini juga, isu banjir yang sekian lama membelenggu penduduk sekitar Sungai Pinang khususnya, dan Negeri Pulau Pinang amnya dapat diselesaikan.
5. Kerajaan Negeri menghargai keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri di atas kejadian banjir kilat semasa sambutan Hari Raya Haji dan berjanji akan memberikan bantuan. Adalah diharapkan bantuan RM997 juta boleh memenuhi hasrat keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri untuk mengatasi masalah banjir kilat di Pulau Pinang.
6. Maka, Kerajaan Negeri memohon pertimbangan
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dalam meluluskan permohonan peruntukan RMK11 bagi Negeri Pulau Pinang. Kerjasama Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dalam meluluskan permohonan ini amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang
s.k:
[1] YB Dato’ Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana, Precint 4
62574 PUTRAJAYA
[2] YBhg. Dato’ Sri Ir. Zainor Rahim Bin Ibrahim
Ketua pengarah
Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia
Jalan Sultan Salahuddin
50626 KUALA LUMPUR
[3] YBrs. Ir. Sabri Bin Abdul Mulok
Pengarah Pengairan dan Saliran Pulau Pinang
Paras 55, KOMTAR
10000 PULAU PINANG