PSUKPP/21/0353/3(2438/2014)
28 Mei, 2014
YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Pejabat Perdana Menteri
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,
PERMOHONAN MEMBERIKAN KELULUSAN DAN LESEN PENGANGKUTAN AWAM KEPADA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG BAGI MENGURANGKAN MASALAH KESESAKAN LALULINTAS DI PULAU PINANG
Dengan hormatnya saya ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri berhubung perkara tersebut di atas.
2. Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menagih janji mantan Perdana Menteri dan juga
YAB Dato’ Sri sendiri untuk membina dan membiayai sistem perkhidmatan LRT atau MRT sebagai salah satu pengangkutan awam alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di negeri ini yang dianggarkan memakan kos perbelanjaan sebanyak RM2.3 bilion. Walaupun, Kerajaan Negeri lebih cenderung kepada sistem ‘tram’, namun Kerajaan Negeri sedia menerima sistem pengangkutan awam yang dipilih dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
3. Sekiranya Kerajaan Persekutuan belum bersedia untuk menjalankan projek LRT atau MRT sepertimana yang dijanjikan, Kerajaan Negeri bersedia untuk mengambilalihnya. Ini adalah kerana dengan keadaan kesesakan trafik yang kian meruncing ekoran pertambahan penduduk, kemasukan pekerja baru untuk mengisi peluang pekerjaan yang kian bertambah serta pertumbuhan bilangan para pelancong yang pesat, maka Kerajaan Negeri tidak dapat menunggu lagi. Walaupun menghadapi kekangan kewangan, Kerajaan Negeri bersedia membina sistem pengangkutan awam dengan perbelanjaan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sendiri. Oleh itu adalah perlu lesen pengangkutan awam ‘tram’ boleh diluluskan oleh pihak Kementerian Pengangkutan kepada Kerajaan Negeri agar kami dapat mencari seorang pengusaha sistem ‘tram’ untuk memulakannya dengan segara.
4. Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dan berbincang dengan pihak Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan bagi merealisasikan pewujudan pengangkutan awam alternatif di Pulau Pinang dengan tujuan mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang dihadapi kini. Kerajaan Persekutuan diminta sebagai alternatifnya, memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengendalikan dan mengawalselia perjalanan sistem pengangkutan awam ‘tram’ yang dipilih sebagai paling sesuai oleh Kerajaan Negeri.
5. Pihak saya bersedia untuk berjumpa dengan
YAB Dato’ Sri dan YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pemangku Menteri Pengangkutan bagi memperoleh lesen pengangkutan awam. Segala perhatian YB Dato’ Sri amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang