PSUKPP/21/0353/26 Klt. 2 (3)
2 April, 2015
YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Menteri Kewangan Malaysia
Kompleks Kementerian Kewangan
No. 5, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62592 PUTRAJAYA
[No. Faksimili: 03 – 88823054]
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,
GOODS AND SERVICES TAX (GST) TELAH MEMAKSA PENIAGA KECIL MENGHENTIKAN PERNIAGAAN
Dengan hormatnya kami ingin memaklumkan kepada YAB Dato’ Sri kesan negatif daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) yang telah melandai pelbagai sektor perdagangan, khususnya industri perniagaan kecil seperti kedai runcit dan kedai ubat tradisional di Negeri Pulau Pinang.
2. YAB Dato’ Sri sendiri telah memberi jaminan bahawa YAB Dato’ Sri sendiri akan mempertahankan hak rakyat daripada sebarang kesulitan ekoran pelaksanaan GST kerana ianya bukan untuk membebankan rakyat. Namun, senario peniaga industri perniagaan kecil yang terpaksa gulung tikar menunjukkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.
3. Di Pulau Pinang sahaja, beberapa peniaga kecil yang beroperasi puluhan tahun terpaksa menghentikan perniagaan mereka, berikutan terhimpit dengan karenah birokrasi dan perbelanjaan tambahan daripada pelaksanaan GST. Senarai peniaga-peniaga tersebut dilampirkan untuk rujukan YAB Dato’ Sri.
4. Kami menjangkakan, ada lebih ramai lagi peniaga kecil yang terpaksa mengambil tindakan yang sama. Mungkin YAB boleh menggunakan peluang ini untuk menunaikan janji dengan menunjukkan jenis bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.
5. GST bukanlah satu cukai yang mudah difahami dan kesulitan yang timbul memerlukan penggunaan komputer dan perisian (software) spesifik GST bagi menguruskan pembayaran GST. Oleh kerana kebanyakan peniaga kecil ini adalah buta huruf dan buta IT, kesukaran menguasai pengetahuan baru ini dan kos perbelanjaan tambahan telah memaksa mereka memilih untuk gulung tikar atau menghentikan perniagaan.
6. Kami juga ingin menarik perhatian YAB Dato’ Sri bahawa penutupan perniagaan kecil seperti kedai runcit dan kedai ubat tradisional di Negeri Pulau Pinang akan menyebabkan kita kehilangan salah satu penyumbang ekonomi tradisi dan memberikan perkhidmatan penting kepada masyarakat tempatan, khususnya di kawasan luar bandar. Bukan itu sahaja, kesan jangka masa panjang yang merisaukan kami adalah peniaga-peniaga ini yang sebelum ini berdikari sendiri, sekarang menjadi penganggur. Secara tidak langsung, ini akan menyumbang kepada kenaikan kadar ketidaksaksamaan pendapatan.
7. Realitinya, peniaga-peniaga kecil ini yang memberikan khidmat kepada masyarakat tempatan di kawasan luar bandar khususnya, bukan sahaja penting untuk negara kita, tetapi mereka merupakan keperluan serta menjadi tulang belakang kepada penduduk luar bandar tersebut.
8. Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami juga ingin meminta pengecualian pembayaran GST ke atas semua projek kerajaan Negeri untuk tujuan awam seperti jalan raya, longkang, balai rakyat, taman hijau, pembinaan gelanggang futsal dan sukan, pembinaan rumah mampu milik dan perumahan awam serta penaiktarafan pasar yang mana adalah suatu ‘public good’ yang bukan laba (non-profit).
9. Sehubungan itu, kami sekali lagi mengulangi pendirian adalah wajar untuk GST ditangguhkan untuk suatu tempoh waktu kerana sememangnya GST membebankan dan mendatangkan pelbagai masalah serta implikasi buruk terhadap rakyat jelata.
10. Di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbangkan semula agar had ‘threshold’ jumlah jualan dikenakan GST dinaikkan daripada RM500,000.00 kepada RM2 juta setahun, demi membantu peniaga-peniaga kecil ini. Penurunan nilai matawang ringgit Malaysia menjadikan ‘threshold’ RM500,000.00 nilai jualan setahun mudah dicapai oleh peniaga-peniaga kecil ini sungguhpun keuntungan adalah kecil kerana margin keuntungan begitu tipis sekali. Ianya sekaligus membebankan serta menjejaskan mereka.
11. Semoga YAB Dato’ Sri boleh mempertimbangkan permintaan ini, bukan sahaja untuk peniaga-peniaga kecil dan rakyat Pulau Pinang, tetapi juga bagi meringankan beban golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Ini adalah kerana ekonomi Negara Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya dua (2) tahun untuk “menyesuaikan” diri dengan GST 6% yang akan memudaratkan masa depan keluarga-keluarga golongan bawahan, lebih-lebih lagi apabila hutang peribadi isi rumah adalah tertinggi di benua Asia iaitu sebanyak 88% Gross Domestic Product (GDP) atau hampir RM1 trilion.
Sekian, terima kasih.
Yang ikhlas,
(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang