Skip to content

Surat kepada YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pemangku Menteri Pengangkutan

PSUKPP/21/0353/3(3232/2013)

26 November, 2013

YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Pemangku Menteri Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan Malaysia
Blok D5, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62616 PUTRAJAYA

YB Datuk Seri,

PERMOHONAN PENGANGKUTAN AWAM ALTERNATIF BAGI MENGURANGKAN MASALAH KESESAKAN LALULINTAS DI PULAU PINANG

Dengan hormatnya saya ingin menarik perhatian YB Datuk Seri berhubung perkara tersebut di atas.

2. Dimaklumkan bahawa jumlah kenderaan keluar-masuk ke negeri ini kian bertambah dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang kian meruncing. Kerajaan Negeri mengharapkan janji mantan Perdana Menteri dan juga YAB Perdana Menteri kini untuk membina dan membiayai sistem perkhidmatan LRT atau MRT dapat ditunaikan. Sungguhpun Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih cenderung kepada sistem ‘tram’, maka Kerajaan Negeri sedia menerima sistem pengangkutan awam yang dipilih dan dibiayai oleh
Kerajaan Pusat.

3. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah menerima pelbagai tawaran bagi projek pengangkutan awam alternatif di
Pulau Pinang daripada syarikat-syarikat dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dan berbincang dengan Kementerian YB Datuk Seri bagi merealisasikan pewujudan pengangkutan awam alternatif di Pulau Pinang dengan tujuan mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang dihadapi kini.

4. Justeru itu, kerjasama dan jasa baik YB Datuk Seri adalah dipohon untuk mempertimbangkan permohonan ini bagi menunaikan janji mantan Perdana Menteri dan YAB Perdana Menteri kini ataupun sebagai alternatifnya, memberikan kuasa penuh kepada
Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengendalikan dan mengawalselia perjalanan sistem pengangkutan awam yang dipilih sebagai paling sesuai oleh Kerajaan Negeri. Pihak saya bersedia untuk berjumpa dengan YB Datuk Seri bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih teliti.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang