Skip to content

Surat permohonan kelulusan peruntukan RM 805 juta di bawah RMK11

PSUKPP/21/0353/20 Klt.4 (50)

9 Oktober 2015

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Pejabat Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri,

PERMOHONAN KELULUSAN PERUNTUKAN RM 805 JUTA DI BAWAH RANCANGAN MALAYSIA KE-11 BAGI MENGATASI MASALAH PEPARITAN DAN BANJIR DI NEGERI PULAU PINANG – Projek Rancangan Tebatan Banjir dan Rancangan Living River di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Dengan segala hormatnya kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Datuk Sri ke atas masalah banjir kilat pada 23hb September 2015 di beberapa tempat di Pulau Pinang. Kerajaan negeri juga mengalu-alukan kesediaan YAB untuk menghulurkan bantuan dan kami dengan rendah diri ingin membuat permohonan berikut.

2. Sukacita dimaklumkan bahawa, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang telah memohon peruntukan di dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) sebanyak RM 805 Juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Rancangan Living River (ROL) bagi Negeri Pulau Pinang. Bersama-sama ini, disertakan senarai permohonan peruntukan di bawah RMK11 yang telah dikemukakan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. (Sila rujuk kepada Lampiran fail PDF)

3. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, peruntukan ini dipohon bagi mengurangkan kejadian banjir dan masalah banjir kilat di kawasan-kawasan penempatan rendah, kesan akibat banjir secara struktur dari aspek pengurangan bilangan penduduk terjejas, kerosakan harta benda dan kerosakan kemudahan awam dalam lembangan sungai. Selain daripada itu, peruntukan ini dipohon untuk meningkatkan kualiti dan keselesaan hidup penduduk setempat dan seterusnya menaiktaraf sosio ekonomi. Dilampirkan bersama peta kawasan banjir bagi Negeri Pulau Pinang pada tahun 2014. (Sila rujuk kepada Lampiran fail PDF)

4. Untuk makluman tambahan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, Kerajaan Negeri telah menyelesaikan isu penempatan semula penduduk yang terlibat dalam projek RTB Sungai Pinang dalam RMK10 (dalam permohonan peruntukan RMK11 dinamakan ROL Sungai Pinang). Oleh itu, diharap dengan kelulusan permohonan RMK11 bagi perlaksanaan projek ROL Sungai Pinang, banyak faedah akan dapat dirasai penduduk yang mendiami lembangan tersebut dengan mewujudkan semula alam sekitar yang bersih, sihat dan produktif. Selain itu, melalui projek ini juga, isu banjir yang sekian lama membelenggu penduduk sekitar Sungai Pinang khususnya dan negeri Pulau Pinang amnya dapat diselesaikan.

5. Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, dengan kelulusan bagi melaksanakan RMK11 ini, Kerajaan Negeri berharap dapat mengurangkan kejadian banjir, dapat menstabilkan tebing dan dasar sistem sungai serta dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti penyenggaraan sungai secara lebih berkesan dan berprofessional. Di samping itu juga, alam sekitar, ekologi dan biodiversiti sungai dapat ditingkatkan serta ekosistem dapat diwujudkan semula. Selain daripada itu, diharap perlaksanaan projek RMK11 sebanyak RM 805 juta ini dapat meningkatkan pendapatan nelayan-nelayan dan sosio-ekonomi penduduk- penduduk di Lembangan Sungai melalui program-program pelancongan seterusnya dapat meningkatkan lagi imej Pulau Pinang.

6. Adalah diharapkan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri boleh meluluskan permohonan peruntukan RMK11 sebanyak RM805 juta bagi Negeri Pulau Pinang. Kerjasama Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dalam meluluskan permohonan ini amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas,

(LIM GUAN ENG)
Ketua Menteri Pulau Pinang