Skip to content

Surat terbuka kepada masyarakat asli di Cameron Highlands

Sebagaimana yang dibangkitkan oleh saudara YB Lim Kit Siang, Masyarakat Asli di Malaysia telah terpinggir daripada arus utama pembangunan negara di bawah pemerintahan Barisan Nasional setelah enam dekad.

Oleh itu, Masyarakat Asli memerlukan seorang wakil rakyat yang mampu dan bertekad memperjuangkan kepentingan dan kebajikan Orang Asli.

Setelah 7 bulan sebagai ADUN Kawasan Tanah Rata, saya sering kali membangkitkan masalah-masalah yang dihadapi oleh Masyarakat Asli dalam Dewan Negeri dan media demi menarik perhatian kerajaan supaya memberikan satu solusi yang holistik untuk Masyarakat Asli.

Pada 24 Julai 2018, saya berucap sempena Mesyuarat Ke-2 Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang ke-14:

“Saya ingin membangkitkan masalah Masyarakat Orang Asli. Walaupun Orang Asli merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat Malaysia dan Negara kita telah mencapai kemerdekaan sejak 61 tahun dahulu, namun masyarakat Orang Asli masih belum dapat merasa nikmat kemajuan yang telah dicapai oleh Negara. Begitu juga untuk Masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands yang penduduknya mencecah 8000 orang.

Isu utama Orang Asli adalah isu Tanah Adat. Isu ini sudah lama berlaku dalam masyarakat orang asli sejak kemerdekaan.

Masalah tanah yang wujud ini sebenarnya telah menyukarkan usaha untuk membangunkan dan memajukan sosioekonomi masyarakat Orang Asli kerana aspek-aspek kehidupan masyarakat Orang Asli amat berkait rapat dengan tanah dan ekologi persekitaran mereka.

Pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta di kawasan tanah adat telah menimbulkan konflik di antara pihak pemaju dan masyarakat setempat. Keadaan ini telah menyebabkan Orang Asli yang terlibat telah kehilangan tempat tinggal dan kawasan pencarian hasil dan sumber hutan bagi menyara kehidupan mereka.

Sepertimana yang dibangkitkan oleh Pemangku Raja Pahang dalam Titah Baginda, diharapkan usaha dan langkah mewartakan tanah rezab Orang Asli dapat dipercepatkan oleh Kerajaan Negeri.

Konvesyen 107 Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli telah menggalakkan setiap Kerajaan untuk melibatkan Orang Asli di dalam projek pembangunan dan telah menyediakan panduan mengenai perlindungan Orang Asli. Kepentingan Orang Asli tidak harus diabaikan dalam arus pembangunan oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.”

Pada 12 Julai 2018, saya telahpun mencadangkan bahawa kuasa JAKOA harus disemak semula dan satu Suruhanjaya Orang Asli seperti mana yang disyorkan oleh SUHAKAM perlu ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh Orang Asli khususnya isu tanah adat.

Justeru, saya mencadangkan bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlulah merencanakan satu Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli untuk memberikan satu mekanisme dan penyelesaian lestari kepada masalah-masalah yang dikenal-pasti dari aspek sosio-budaya dan psikologi, ekonomi, politik dan juga alam sekitar.

Pada 22 November 2018, saya memberikan ucapan sempena perbahasan Belanjawan 2019 Negeri Pahang:

“Adalah wajarnya Agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan, JAKOA dan Pejabat Daerah dan Tanah mengusahakan langkah-langkah yang boleh membantu keadaan kecemasan sedemikian.

Selain daripada perkara memperbaiki dan menaiktaraf infrastruktur perkampungan Orang Asli termasuk jalan berturap, grid elektrik 24 jam, bekalan air yang dirawat dan rangkaian komunikasi yang stabil, saya juga ingin membincangkan cadangan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti kehidupan Orang Asli seterusnya mengatasi masalah sosioekonomi.

Ini termasuklah program penyediaan peluang pekerjaan dan keusahawanan, pendidikan, latihan kemahiran, perumahan mampu milik, kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas serta jaringan keselamatan sosial. Pendekatan ini memastikan tiada kumpulan masyarakat yang akan tercicir daripada mendapat peluang dan manfaat pertumbuhan ekonomi selaras dengan prinsip “no one left behind”.

Untuk memastikan Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan dan peluang pendidikan untuk mereka adalah teramat penting.

Kita perlu mengurangkan kadar keciciran pelajar melalui penyediaan asrama, pengangkutan dan bantuan kewangan dan menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar dari Masyarakat Asli yang berpotensi tinggi di institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran berdasarkan kepada kriteria kelayakan dan kuota kemasukan khas.

Kita perlu meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran tinggi seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan juga mempergiat Pembangunan Keusahawanan di peringkat sekolah.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya satu Sekolah Vokasional untuk Masyarakat Orang Asli boleh diwujudkan di Daerah Cameron Highlands. Ini bukan sahaja boleh merapatkan jurang pembangunan dan ketidakseimbangan pertumbuhan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya masyarakat Asli dan golong B40.”

Namun demikian, dengan suara sekadar di Dewan Undangan Negeri Pahang adalah tidak cukup dan mampu dalam membantu Masyarakat Asli ubah nasib.

Justeru, saya menyeru pengundi khususnya pengundi Orang Asli di Cameron Highlands menyokong sepenuhnya kepada calon Pakatan Harapan saudara M Manogaran, iaitu seorang yang penuh prihatin terhadap isu-isu Orang Asli demi masa depan Malaysia Baru dan Masyarakat Asli.