Skip to content

Surat tuntutan kepada Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard

Saya ingin mengumumkan bahawa saya akan mengeluarkan satu surat tuntutan hari ini terhadap pemimpin Bersatu, En Badrul Hisham Shaharin ke atas terbitan beliau di laman Facebooknya:

https://mobile.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02ZctraMfpbS892YjzPBXNNHNNWUB5W8tKw7rmGPiztiXzVg3SQAaGPkM94FK8U1CFl&id=100044403794956&_rdc=1&_rdr

Beliau telah memfitnah bahawa saya memiliki sebuah syarikat yang telah ditawarkan kontrak pembangunan aplikasi internet oleh Tabung Haji semasa saya bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan pada tahun 2019.

Secara jelas, beliau ingin membangkitkan sentimen marah di kalangan rakyat, terutamanya umat Islam, terhadap saya, parti DAP dan Pakatan Harapan dengan fitnah jahat di atas.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak lagi memiliki satu saham pun dalam syarikat Cyber Village Sdn Bhd sejak 15 tahun lalu. Syarikat tersebut merupakan syarikat yang saya terajui sehingga tahun 2006.

Adalah maklumat dan rekod umum bahawa saya telah menjual kesemua milikan saham saya dalam syarikat Cyber Village sebelum saya masuk bidang politik pada tahun 2007. Saya tidak lagi ada sebarang kaitan dengan syarikat tersebut.

Saya juga ingin menegaskan bahawa Tabung Haji bukan sebuah badan berkanun kerajaan di bawah naungan Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan pun tidak pernah sekali pun campur tangan dalam sebarang urusniaga Tabung Haji semasa pentadbiran Pakatan Harapan, kecuali semasa keperluan untuk menyelamatkan Tabung Haji dengan suntikan dana RM17.9 bilion ringgit.

Oleh itu, segala tuduhan yang berniat jahat daripada Chegubard adalah langsung tidak berasas.

Ini bukan merupakan kali pertama Chegubard berdosa fitnah jahat pada saya. Baru-baru ini, pada bulan Mei 2022, beliau terpaksa membuat permohonan maaf terbuka kepada saya ke atas 2 lagi tulisan Facebook yang beliau terbitkan pada tahun 2019, selepas saya membawa saman fitnah ke mahkamah. (https://www.malaysiakini.com/news/623000)

Chegubard jelas merupakan seorang kaki fitnah yang tiada bermodal. Saya akan mengambil tindakan saman fitnah sekali lagi jika beliau tidak menarik balik segala tuduhan beliau dan memohon maaf kepada saya dengan serta merta.

Pada masa yang sama, jika ada sesiapa yang melontar tuduhan fitnah yang sama di mana-mana media, saya juga akan mengambil tindakan yang sama ke atas mereka.