Skip to content

Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji sejauh mana matlamat dan prinsip Rukun Negara telah dicapai dalam 53 tahun yang lepas

Tidak ada cara yang lebih baik untuk menandakan ulang tahun ke-60 Hari Malaysia berbanding dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji sejauh mana matlamat dan prinsip Rukun Negara telah berjaya dicapai dalam 53 tahun yang lepas.

Matlamat dan prinsip Rukun Negara dibentuk melalui proklamasi diraja pada Hari Kebangsaan pada tahun 1970 untuk memastikan adanya keseimbangan kaum, kestabilan, dan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia seperti berikut:

“BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
  • Memelihara cara hidup demokratik;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
  • Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dengan berbagai-bagai corak, dan
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

“MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN”

Suruhanjaya Siasatan Diraja ini patut mengkaji kemajuan dan hasil dari proses menerapkan matlamat dan prinsip Rukun Negara kepada semua rakyat Malaysia, dan menyiasat sama ada semua Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Parlimen, dan Kerajaan-kerajaan Negeri menerima dan menyokong semua matlamat dan prinsip Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara, yang melibatkan pengurangan retorik isu 3R yang memecah-belahkan kepelbagaian kaum, agama, dan budaya dalam negara, serta iltizam negara untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, bahasa, dan budaya kepada dunia.