Skip to content

Syabas kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha menghapus kira hutang bekalan air serta penovasian menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang

Pertama sekali, saya ingin ucapkan syabas kepada Kerajaan Persekutuan atas usaha menghapus kira hutang bekalan air serta penovasian menerusi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Pahang.

Sesungguhnya ini adalah antara inisiatif terpuji dari Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri. Saya percaya usaha ini bukan sahaja akan membantu meringkan beban kerajaan negeri dalam menguruskan hal sedia ada, ia juga akan membantu memperbaiki dan meningkatkan mutu hidup rakyat di negeri Pahang. Air merupakan sumber kehidupan, justeru penting untuk kerajaan negeri memastikan rakyat menerima bekalan air bersih dan selamat.

Tambahan pula, saya juga percaya bahawa ia sudah menjadi tanggungjawab mutlak Kerajaan Persekutuan dalam membantu Kerajaan Negeri yang memerlukan, tidak kira samada kerajaan negeri tersebut ditadbir oleh pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang.

Dalam masa yang sama, saya juga ingin mencadangkan agar pihak Kerajaan Persekutuan, di bawah pimpinan Perikatan Nasional dapat menghapus kira hutang PTPTN bagi golongan peminjam dalam kategori B40. Sekiranya peruntukan yang nilainya berbilion ringgit dapat diberikan kepada negeri Pahang dalam menghapus kira hutang bekalan air mereka, saya percaya Kerajaan Persekutuan juga mampu memberikan peruntukan sama dalam menyelesaikan masalah hutang yang disebutkan. Penghapus kiraan secara menyeluruh mungkin mustahil, namun penghapus kiraan separuh atau sebahagian dari keseluruhan hutang akan banyak membantu golongan peminjam ini.

Dalam keadaan ekonomi negara yang sedang meleset, kita harus sedar bahawa ramai peminjam PTPTN kategori B40 kini sedang menganggur. Bukan itu sahaja, yang sudah bekerja pula banyak dipecat. Walaupun ada segelintir dari mereka mendapat kerja baharu dan mengusahakan perniagaan sendiri, hasil yang diterima hanya cukup untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Pandemik COVID-19 ini merupakan malapetaka yang tidak dapat dielakkan, oleh itu Kerajaan Pusat hendaklah memastikan kelangsungan hidup rakyat diutamakan dan mencuba sedaya upaya mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.