Menurut peguam Najib Razak, Jabatan Penjara melarang beliau mendedahkan syarat tahanan rumah kerana bimbang media dan rakyat membuat spekulasi.
Alasan ini sungguh mengarut! Adakah Jabatan Penjara fikir rakyat akan berhenti membuat spekulasi apabila maklumat dirahsiakan? Sebaliknya, kerahsiaan inilah yang akan mengundang lebih banyak spekulasi liar.
Rakyat berhak tahu apakah syarat tahanan rumah Najib. Siapa dibenarkan melawat? Bolehkah beliau menggunakan telefon, internet dan media sosial? Bagaimana pula dengan televisyen, hiburan dan kebebasan menerima tetamu? Adakah beliau diwajibkan memakai gelang elektronik atau dipantau CCTV sepanjang masa?
Najib masih seorang banduan, bukannya orang yang telah dibebaskan. Kes ini melibatkan kepentingan awam dan boleh menjadi rujukan bagi pelaksanaan tahanan rumah pada masa depan. Rakyat berhak mengetahui bagaimana hukuman penjara dilaksanakan di luar penjara.
Saya mendesak Jabatan Penjara mendedahkan syarat asas tahanan rumah Najib kepada umum. Maklumat keselamatan yang sensitif boleh dirahsiakan, tetapi bukan segala-galanya.
Tahanan rumah bukan percutian di banglo mewah. Jika semuanya mengikut peraturan, mengapa takut rakyat tahu?