Skip to content

Syarikat konsesi lebuhraya harus kekalkan lorong bayaran tunai

Saya mendesak pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia supaya menolak segala cadangan pihak pengendali lebuh raya untuk melaksanakan sepenuhnya sistem pungutan elektronik iaitu Touch n Go atau Smart Tag.

Laporan media pada 10 Julai telah melaporkan pengesahan daripada Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan AlloyMtd bahawa Tol Bentong dan Tol Gombak tidak menerima bayaran tunai mulai 9 September tahun ini. Sebelum ini, pihak Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) telah mengumukan bahawa sistem kutipan tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTag untuk transaksi bayaran tol akan dilaksanakan sepenuhnya di 12 plaza tol bermula 12 tengah hari, 9 September ini.

Tindakan pihak syarikat konsesi lebuhraya sebegini telah menimbulkan kesulitan kepada para pengguna lebuhraya terutamanya mereka yang bukan merupakan pengguna kerap atau pun pengguna sekali (one time user).

Sistem pembayaran secara elektronik yang merupakan cara pra-bayar merupakan suatu cara urusniaga tidak adil yang lebih menguntungkan kepada pihak peniaga dan kadang kala merugikan pengguna sekiranya pengguna tersebut bukan pengguna kerap lebuhraya. Bagi pengguna yang jarang menggunakan lebuhraya baki dalam kad pra-bayar tersebut tidak dapat digunakan oleh pengguna tersebut malah mungkin akan hilang begitu sahaja sekiranya kad tersebut tidak digunakan dan tercicir kerana jarang digunakan. Tambahan pula, pengguna terpaksa membayar kos lebih untuk kad pra-bayar seperti PLUSmiles dan Touch n Go.

Saya memandang pelaksanaan sepenuhnya sistem kutipan tol secara elektronik ini sebagai sesuatu pendekatan untuk memaksa pengguna menggunakan sistem pra-bayar yang membebankan pengguna. Cara pembayaran secara tunai seharusnya dikekalkan sebagai salah satu pilihan kepada pengguna.

Sumber :

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tol-gombak-bentong-guna-touch-8216-n-go-8232-smart-tag-bermula-9-september-1.112836

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/12-plaza-tol-guna-sistem-kutipan-tol-secara-elektronik-sepenuhnya-mulai-9-s#sthash.VlJxo1Sk.dpuf