Tahniah diucapkan kepada Abdul Rasheed Ghaffour kerana secara rasmi memikul amanah sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu berkuat kuasa hari ini. Abdul Rasheed bertanggungjawab ke atas sebuah institusi kewangan penting yang bertindak sebagai penimbang tara dasar monetari negara dan penjaga rizab pertukaran asing kita yang berjumlah USD 113 bilion pada 15 Jun 2023.
Abdul Rasheed mengambil alih pada masa yang kritikal apabila nilai ringgit berada dalam tekanan setelah susut nilai kepada RM4.68 berbanding dolar AS di bawah kerajaan Perpaduan. Walaupun ini masih lebih tinggi daripada paras terendah di bawah kerajaan PN tahun lepas, ketika ringgit jatuh ke paras terendah RM4.75 berbanding dolar AS, ringgit yang lemah telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap peningkatan kos import kepada individu dan perniagaan.
Bagi memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia, terdapat keperluan untuk penjajaran dasar antara BNM dan Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Hanya dengan itu Malaysia boleh mengekalkan pertumbuhan ekonomi tanpa tekanan inflasi yang menaik dalam persekitaran global dengan pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan jangkaan inflasi yang sukar menurun.
Normalisasi dasar kadar faedah tidak seharusnya dilaksanakan terlalu awal, apabila inflasi sedang menurun, sehingga pertumbuhan ekonomi yang teguh terjamin. Akan ada tumpuan yang lebih tinggi terhdap mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang akan datang pada 6 Julai, yang pertama kali dipengerusikan oleh Rasheed, sama ada untuk meneruskan atau menghentikan kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR). Peminjam yang mengalami kos faedah yang lebih tinggi dan bimbang tentang pertumbuhan ekonomi yang mampan berharap BNM akan memberikan sedikit kelegaan dengan menghentikan kenaikan OPR apabila kadar inflasi menyederhana kepada 2.8% pada Mei daripada 3.3% pada April 2023.