Skip to content

Tahniah kepada Jocelyn Yow atas perlantikannya sebagai datuk bandar wanita berketurunan Asia pertama di Eastvale

Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jocelyn Yow. Pada umur 25 tahun, beliau telah kecapi kejayaan yang unggul dengan menjadi datuk bandar wanita berketurunan Asia pertama di Eastvale, Daerah Riverside, California, Amerika Syarikat.

Pelantikannya pada 10 haribulan Disember lepas melakar sejarah baru di dalam landskap politik Amerika Syarikat. Pencapaian beliau yang mempunyai susur galur dari negeri jelapang padi ini juga menjadikan dia figura contoh yang terbaik untuk golongan anak muda di Malaysia.

Dasawarsa ini, usia bukan lagi kayu ukur kebijaksanaan seseorang. Keutamaan yang dititik beratkan kini adalah kebolehan dan keupayaan golongan anak muda di dalam memikul tanggungjawab besar dan menjadi datuk bandar bukanlah tanggungjawab yang calang-calang. Anak muda yang menunjukkan kewibawaan dan kearifan dalam kepimpinan seharusnya diberikan peluang dalam memimpin kerana mereka akan memberikan impak positif kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi kita hidup di zaman yang mana teknologi baru sedang membangun dengan pesat, selanjutnya membuktikan betapa pentingnya kita untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan anak muda dalam memimpin.

Sebagai seorang ibu berketurunan Asia, kejayaan Jocelyn Yow membuktikan latar belakang minoritinya bukanlah penghalang untuk dia mendapatkan sokongan dari golongan majoriti.

Penting untuk golongan anak muda kita sedar akan keupayaan dan kebolehan mereka dalam membentuk dan membina negara. Perselisihan politik yang kian mengeruh di dalam landskap politik tempatan kini membuktikan betapa pentingnya suara-suara baru untuk diketengahkan. Kepentingan yang harus dititipkan di sini bukanlah umur, jantina, bangsa, ataupun agama, namun semangat juang yang tinggi dan kesepakatan bersama adalah kunci utama untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih baik.

Haruslah ditekankan juga disini untuk para siswa dan siswi Malaysia yang berkelana di luar negara untuk tidak putus harap akan negara tercinta kita. Sesungguhnya bakat unggul kalian jika ditabur kembali kepada Malaysia nescaya negara kita akan berjaya setanding dengan negara-negara hebat di luar sana.