Skip to content

Tahniah kepada MPSP atas sijil OHSAS; kerajaan pusat patut mansuh pemusatan kuasa untuk memperkasakan kerajaan tempatan

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang menjadi kerajaan tempatan yang pertama di Semenanjung Malaysia yang mendapat pensijilan OHSAS 18001:2007 daripada NIOSH Certification Sdn. Bhd. Ini atas usaha MPSP menyediakan serta memastikan persekitaran kerja, kemudahan, peralatan dan sistem kerja yang selamat dan sihat kepada semua pekerja, kontraktor, pelanggan, pelawat dan pihak yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan aktiviti MPSP.

Pencapaian MPSP menunjukkan ia telah berjaya membudayakan visi Pulau Pinang Bersih Hijau Sihat dan Selamat oleh kerajaan negeri. Saya sebagai bekas ahli majlis dan kini ahli parlimen berasa bangga atas kejayaan tersebut.

Lebih kuasa kepada kerajaan tempatan

Kerajaan tempatan patut diperkasakan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk setempat. Ini adalah kerana kerajaan tempatan merupakan lapisan kerajaan yang paling dekat kepada sesuatu kawasan justeru mampu membuat keputusan dengan lebih tepat dan mengambil tindakan dengan lebih cepat.

Justeru, saya menggesa kerajaan pusat untuk melaksanakan dua perkara berikut;

  1. menepati janji Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1963 untuk mengembalikan pilihanraya tempatan selepas Konfrontasi. Kini sudah 47 tahun selepas Konfrontasi yang berakhir secara rasmi pada 1966, tetapi pilihanraya tempatan masih gagal dilaksanakan. Memandangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang bertekad untuk melaksanakan pilihanraya tempatan, maka saya menggesa Perdana Menteri Najib Razak untuk berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk merealisasikan aspirasi penduduk Pulau Pinang untuk pilihanraya tersebut.
  2. mansuhkan pemusatan kuasa di kerajaan pusat untuk mencapai keberkesanan ekonomi dan pentadbiran. Contohnya, perkhidmatan seperti pengangkutan awam, pengurusan industri, infrastruktur asas, perumahan dan keselamatan patut diletakkan di bawah pengurusan pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini juga bermakna kedua-dua PBN dan PBT perlu diberikan kuasa mengumpul cukai yang setimpal.

Kes terbaru kegagalan sistem pemusatan kuasa ini ialah di mana kerajaan pusat menolak permohonan kerajaan negeri untuk membina jaringan “laluan basikal” di Pulau Pinang. Dalam kes seperti ini, PBN dan PBT patut diberikan kuasa penentuan memandangkan ia lebih melibatkan hal-ehwal negeri dan setempat. Amat tidak logik sekali pembuat keputusan di Putrajaya yang berada 400 km dari Pulau Pinang membuat keputusan bagi pihak penduduk setempat sama perlu atau tidak perlu laluan basikal di negeri ini. Biarlah keputusan seperti ini dibincang dan ditentukan di peringkat PBN dan PBT supaya Putrajaya boleh menumpu perhatian dalam bidang berkepentingan nasional seperti pertahanan, kesihatan, hubungan luar dan pendidikan.