Skip to content

Tahniah PDRM kerana mencari penyelesaian, namun penyusunan semula masih diperlukan segera

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Ops Cantas untuk mengatasi masalah jenayah yang kini sedang meningkat dengan berleluasa. Mengikut jurucakap polis, seramai 683 suspek telah ditahan dalam operasi di Selangor sahaja. (http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/08/21/Cops-round-up-683-suspects-in-Ops-Cantas-Khas.aspx)

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan memuji PDRM kerana telah mengambil inisiatif ini untuk melawan jenayah terutamanya jenayah bersindiket. Jika PDRM boleh mengekalkan prestasi ini, saya percaya, keyakinan rakyat terhadap pasukan polis akan dipulihkan kembali.

PDRM selesaikan dilema perundangan, BN patut henti penipuan tentang EO

Keduanya saya tabik kepada PDRM kerana telah berjaya mencari satu penyelesaian kepada dilema mereka bahawa polis tiada peruntukkan undang-undang untuk melawan jenayah terutamanya jenayah berat. Pada masa itu, politikus Barisan Nasional cuba mengambil kesempatan kejadian jenayah yang berleluasa untuk mengembalikan akta zalim Ordinan Darurat yang sering disalahguna untuk menentang pembangkang. Namun kini, cadangan mengembalikan Ordinan Darurat terbukti tidak perlu sama sekali kerana polis telah menggunakan satu akta yang jarang digunakan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 1983) dalam Ops Cantas.

Saya berharap pemimpin BN terutamanya Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi akan berhenti mengelirukan rakyat tentang kekurangan sumber dalam PDRM. Saya telah berkali-kali menunjukkan bahawa masalah PDRM bukan kerana kekurangan sumber, sama ada sumber kewangan, perundangan ataupun sumber manusia, tetapi adalah kerana 1) salahguna kuasa polis oleh kerajaan pusat, 2) pengurusan sumber yang tidak cekap dalam PDRM, contohnya, untuk setiap 1 orang anggota dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), terdapat 5 lagi anggota yang melaksanakan kerja-kerja pengurusan.

80% PDRM melawan jenayah tidak tepat: PDRM masih tidak fokuskan sumber ke arah melawan jenayah

Saya juga hendak ketengahkan bahawa apa yang dikatakan oleh jurucakap polis ACP Ramli Mohamed, iaitu 80% daripada PDRM dikerah untuk melawan jenayah adalah tidak tepat. Jika kita mengira tugas-tugas sampingan dan sokongan maka kita pun boleh kata 100% PDRM terlibat dalam melawan jenayah, termasuk staf yang melakukan kerja-kerja pendakwaan, pengurusan aset, pentadbiran dan juga pembersihan. Apa yang ingin diperkatakan di sini ialah, PDRM telah terpesong dari misi utamanya iaitu melawan jenayah. Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang merupakan unit utama yang melawan jenayah perlu diperkembangkan di mana sekurang-kurangnya 50% daripada sumber PDRM diperuntukkan untuk jabatan ini.

Saya pernah menunjukkan bahawa dari 2011 ke 2013, terdapat satu peningkatan yang tidak seimbang dalam sumber untuk melawan jenayah dan melawan musuh politik:

Jabatan 2011 2013 % peningkatan
JSJ 9346 9929 6.24
Cawangan Khas (SB) 5050 7642 (Termasuk Special Task Force) 46.43

JADUAL 1: Jumlah pegawai polis dalam CID dan SB pada 2011 dan 2013

Dan jika hanya polis berpangkat Inspektor ke atas boleh menjadi “Pegawai Penyiasat” (IO), maka jumlah keanggotaan polis yang boleh diberi kuasa penyiasatan terus menjadi lebih rendah. Dalam JSJ, hanya 24% sahaja anggota berpangkat Inspektor dan ke atas termasuk pegawai paling kanan boleh dilantik sebagai IO. Justeru, tidak hairan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar telah mengatakan bahawa seorang IO terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan dan di kawasan “hot spot”, IO terpaksa mengendalikan sehingga 30 kes sebulan. (http://mynewshub.my/?p=161438).

Pangkat GO Inspector Anggota Sokongan Jumlah
Jumlah 782 1623 7390 134 9929

JADUAL 2: Pecahan anggota polis mengikut pangkat dalam JSJ

Polis sendiri mengaku JSJ kekurangan staf

Realitinya, PDRM sendiri telah mengaku bahawa JSJ menghadapi masalah serius kekurangan anggota. Mengikut Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin 2005, PDRM telah memohon 21,294 anggota tambahan dalam JSJ pada tahun 2004, ketika jumlah anggota JSJ seramai 6,661 orang. Ini bermakna, jika diukur mengikut keperluan 2004 pun, JSJ pada hari ini masih kekurangan 18,026 anggota.

Namun ini tidak bermakna kita perlu menambah anggota ke dalam PDRM kerana nisbah polis kepada penduduk pada masa kini adalah optimum. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk menyusun semula organisasi PDRM dan memindahkan sumber manusia ke JSJ untuk tugasan melawan jenayah secara langsung.

IPCMC perlu ditubuhkan segera

Akhir sekali, bagi mengembalikan keyakinan awam dan untuk mengekalkan profesionalisme PDRM, sebuah badan bebas bagi disiplin dan kenaikan jawatan polis seperti Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) perlu ditubuhkan pada kadar segara. Saya berharap PDRM sendiri akan mengambil kesempatan krisis hari ini untuk menyelamatkan imej dan profesionalisme polis sebagai penjaga keselamatan rakyat jelata.