Skip to content

Tahniah TMJ. Selamat terajui FAM, kembalikan gemilang bola sepak Malaysia

DAP Johor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejer Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 – 2021.

Kemenangan ini adalah berikutan saingan tunggal bagi jawatan utama tersebut, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mengumumkan penarikan diri daripada pertandingan yang dijadualkan pada Sabtu ini. Sebelum ini Annuar Musa berulang-kali menyatakan beliau tidak akan berundur.

Kejayaan DYAM Tunku disambut baik oleh semua rakyat Bangsa Johor. Malah, ia juga diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya para peminat bola sepak negara.

Saya bagi pihak DAP Johor yang turut bergembira yakin kepimpinan baru FAM dapat menyuntik semangat yang segar untuk mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia sebagai salah satu kuasa bola sepak di rantau Asia.

Kami juga yakin DYAM Tunku dapat membawa perubahan kepada FAM bagi membolehkannya berfungsi dengan lebih baik untuk kebaikan semua pihak, terutamanya para pemain, negeri dan kelab, serta para peminat bola sepak tanah air.

Telah terbukti sumbangan besar DYAM Tunku dalam memajukan dan meningkatkan prestasi bola sepak di Malaysia. Kini pasukan Johor Darul Ta’zim menjadi satu wira bola sepak yang digeruni di seluruh Asia.

Atas kesungguhan dan kegigihan inilah yang meyakinkan DAP Johor bahawa satu perubahan besar yang positif akan berjaya dibawa oleh DYAM Tunku selaku Presiden FAM yang baru.

Tahniah.