Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan secara terbuka derhaka terhadap Raja dan hasrat rakyat agar Parlimen diadakan “secepat mungkin” seperti yang dititahkan oleh Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja semalam. Kecuali Takiyuddin membuat putaran U dan menunjukkan kekesalan terhadap kesalahan ini, dengan kesediaannya untuk mendesak Perdana Menteri agar mematuhi titah Diraja “secepat mungkin”, Perdana Menteri akan terlibat sama dalam penderhakaan Takiyuddin terhadap Perlembagaan Persekutuan dan kehendak rakyat serta Majlis Raja-Raja.
Apa yang begitu sukar difahami mengenai titah Diraja bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin? Takiyuddin yang bergantung pada cadangan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin untuk Parlimen bersidang menjelang Oktober atau hampir 4 bulan lagi, jelas tidak memenuhi makna “secepat mungkin”. Cubaan Takiyuddin untuk memutar belit titah “secepat mungkin” oleh Yang DiPertuan Agong, sebagai tidak menyatakan tarikh yang tertentu atau menyatakan bulan mana Dewan perlu bersidang, adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur.
Sebelum ini, Takiyuddin telah menunjukkan sikap kepartian melampaui profesionalisme dengan mendakwa bahawa Kabinet yang akan memutuskan sama ada untuk memberi nasihat kepada Yang DiPertuan Agong untuk melanjutkan Darurat, bertentangan dengan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat. Perdana Menteri sendiri kemudian membetulkan Takiyuddin bahawa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, dan bukan Kabinet, yang akan memberi nasihat kepada Yang DiPertuan Agong dengan sewajarnya.
Berapa banyak lagi kesilapan yang harus ditanggung oleh rakyat Malaysia kerana seorang Menteri Undang-Undang yang enggan bertindak mengikut undang-undang? Oleh kerana Majlis Raja-Raja juga telah menitahkan bahawa Proklamasi Darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos, Takiyuddin harus bertindak sesuai dengan kuasanya sebagai Menteri Undang-Undang untuk melaksanakan titah tersebut. Sebaliknya, Takiyuddin terus berdolak-dalik yang akhirnya akan merugikan kepentingan rakyat dan menjejaskan usaha keseluruhan masyarakat bagi memenangi pertempuran melawan pandemik COVID-19.
Berdasarkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) oleh Mahiaddin, Parlimen akan bersidang semula semasa fasa ketiga pemulihan Malaysia dari ‘lockdown’ sekarang pada bulan Oktober. Ini bertentangan dengan tiga kriteria Mahiaddin dalam PPN untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang lain, iaitu jumlah kes COVID-19 harian, kapasiti ICU di seluruh negara dan jumlah populasi yang telah divaksinasi (dengan dua dos).
Berdasarkan ketiga kriteria ini, Parlimen boleh dibuka semula dengan segera dan tidak perlu menunggu hingga Oktober. Tidak ada kes COVID-19 harian baru di kalangan Ahli Parlimen, tidak ada seorang MP pun menerima rawatan di ICU dan semua MP telah diberi vaksin. Dengan menggunakan tiga kriteria Mahiaddin dalam PPN, tidak ada alasan logik berdasarkan sains dan data untuk menghalang Parlimen daripada bersidang semula secepat mungkin.