Skip to content

Takiyuddin Hassan harus menebus reputasi tercemar beliau sebagai Menteri Undang-Undang yang merendahkan demokrasi berparlimen dan mengamalkan dua darjat dengan menjatuhkan denda berat RM50,000 kepada penjaja miskin

Takiyuddin Hassan harus menebus reputasi beliau yang tercemar sebagai Menteri Undang-Undang yang merendahkan demokrasi berparlimen dan mengamalkan dua darjat dengan menjatuhkan denda berat RM50,000 kepada penjaja miskin sementara para Menteri terlepas dari hukuman atau dihukum dengan ringan. Ahli Parlimen PAS itu telah menggunakan retorik perkauman yang melampau dalam mengutuk kegagalan PH mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim. Namun Takiyuddin telah hilang minat dan suara ketika menjadi Menteri Undang-Undang, dibandingkan dengan siasatan dan proses mahkamah oleh Kerajaan PH.

Takiyuddin telah dikecam hebat kerana berbohong kepada Parlimen ketika beliau berjanji akan melaksanakan penurunan umur pengundi dari 21 kepada 18 (Undi18) menjelang Julai 2021. Sebaliknya, Kerajaan PN telah menyokong keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menangguhkan Undi18 sehingga selepas September 2022.

Takiyuddin terus mempertahankan penggantungan Parlimen. Walaupun titah Yang di-Pertuan Agong mengatakan bahawa Proklamasi Darurat tidak menghalang persidangan Parlimen, tentangan terbuka Takiyuddin bukan sahaja merupakan tindakan khianat terhadap ketinggian Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga tindakan derhaka kepada Agong.

Dan sekarang dia terus memberi alasan bagi penggunaan kuasa darurat yang mengorbankan rakyat biasa, dengan 3 penjaja di negeri Kelantan sendiri menerima kompaun RM50,000 kerana berniaga di luar waktu operasi di kawasan rumah mereka sendiri! Sekiranya rakyat Kelantan boleh mengalami tindakan yang tidak masuk akal itu, kami risau tentang nasib penjaja di negeri lain yang tidak diperintah oleh PAS.

Takiyuddin telah berusaha untuk menjelaskan bahawa pengeluaran notis kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) harus dilakukan mengikut panduan yang ditetapkan oleh kerajaan, di mana mereka harus dikenakan kompaun maksimum RM10,000 dan bukan RM50,000. Takiyuddin telah menunjukkan dirinya seorang yang tidak berperikemanusian dengan lupa bahawa untuk seorang Menteri seperti beliau, RM10,000 mungkin tidak banyak, tetapi bagi penjaja yang miskin walaupun selepas diskaun 50% kepada RM5,000 adalah di luar kemampuan mereka.

Salah seorang penjaja yang terjejas di Kelantan, Mohd Azizi Mohd Nor, malah mengatakan bahawa dia tidak dapat membayar denda tersebut dan terpaksa memilih untuk masuk penjara. Ini sungguh memilukan kerana Mohd Azizi seperti kebanyakan rakyat Malaysia bekerja keras untuk berusaha memberi makan kepada keluarga mereka kerana kerajaan telah gagal. Siapa yang akan memberi makan kepada keluarganya apabila dia masuk penjara?

DAP telah mengumumkan bahawa peguam kami bersedia membela mereka yang dikenakan denda kompaun yang tidak adil seperti ini, dan mencabar kesahihan nya dari segi undang-undang di mahkamah secara percuma. Terserah kepada Mohd Azizi sama ada dia mahu ke mahkamah atau tidak, tetapi Takiyuddin boleh menyelamatkan rakyat biasa Malaysia daripada kesulitan dan masalah hukuman yang berat, dengan menangguhkan denda tersebut sementara menunggu semakan penuh undang-undang ini bagi memastikan keadilan kepada rakyat biasa Malaysia yang miskin.