Skip to content

Takziah untuk keluarga mendiang Juliana Lim yang meninggal dunia akibat serangan tidak berperikemanusiaan di gereja Church of Visitation, Seremban

Saya ingin merakamkan ucapan takziah buat teman-teman dan ahli keluar Sister Juliana Lim, biarawati berusia 69 tahun yang meninggal dunia akibat kecederaan yang ditanggung berikutan kejadian ragut terhadapnya di pagar gereja Church of Visitation, Seremban.

Kita berharap supaya jenayah keji ini yang telah diklasifikasikan pihak polis sebagai kes bunuh akan dapat diselesaikan dengan kadar segera, supaya episod yang menyayat hati ini berakhir dan keadilan ditegakkan.

Jenayah ganas ini juga menyorot betapa seriusnya keadaan jenayah di negara ini, yang membuatkan ramai rakyat Malaysia, terutamanya wanita ketakutan dan risaukan keselamatan mereka.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan DAP dua minggu lalu di Teluk Intan, jenayah adalah isu serius yang merunsingkan pengundi di kawasan ini. ‘Jenayah dan masalah sosial’ berada di kedudukan kedua tertinggi antara masalah yang ditimbulkan oleh mereka yang menjawab soalan tinjauan.

Di sini saya ingin menekankan pendidiran DAP bahawa Polis Diraja Malaysia mesti meningkatkan profesionalisme dan kecekapan pasukan tersebut, dan meletakkan lebih banyak sumber-sumbernya untuk membanteras jenayah di negara ini demi mengurangkan aktiviti jenayah yang melampau di negara ini.

Walaupun pasukan polis mempunyai lebih daripada 120,000 anggota, kurang daripada 10,000 anggota polis dikhaskan untuk membanteras jenayah. Yang peliknya, jumlah anggota Cawangan Khas, yang dikhaskan untuk ‘melindungi’ ahli politik seperti saya hampir sama banyaknya dengan Jabatan Siasatan Jenayah.

Apa yang lebih perlu distruktur semula adalah hakikat bahawa lebih 40% daripada jumlah anggota polis ditempatkan di bawah ‘pengurusan’, ‘administratif’ dan ‘logistik’, sementara 30% lagi ditugaskan dalam pasukan keselamatan seperti Federal Reserve Unit (FRU), Light Strike Force dan Pasukan Gerakan Am.

Saya juga ingin memaklumkan pengundi Teluk Intan bahawa saya akan menyeru dengan tegas supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis ditubuhkan demi memastikan integriti dan kecekapan pasukan polis akan diperbaiki, serta hak-hak rakyat Malaysia akan dilindungi.