Skip to content

Tambah baik keadaan kehidupan di pusat tahanan imigresen dan laksanakan dasar “Alternatif kepada Penahanan” untuk golongan kanak-kanak yang ditahan di depoh imigresen untuk mengurangkan beban kepada para petugas barisan hadapan dan pada masa yang sama mengekang penularan kluster Covid-19

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen Malaysia dengan lawatan terkini mereka ke Depoh Tahanan Imigresen di Malaysia, jelas terdapat keperluan untuk kerajaan mempercepatkan kerja-kerja penambahbaikan kepada kelima-lima depoh tahanan ini di seluruh negara seperti mana yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11. Penambahbaikan infrastruktur ini juga merangkumi kuarters kediaman para pegawai imigresen dan juga untuk petugas-petugas dalam kawasan berhampiran dengan depoh ini.

Tambahan lagi, PAC mendapati bahawa terdapat juga bayi yang baru lahir bersama-sama dengan kanak-kanak lain ditahan di depoh tahanan ini bersama dengan penjaga mereka. Jelas sekali, pusat tahanan bukanlah satu tempat yang sesuai untuk mana-mana kanak-kanak membesar. Salah satu dapatan PAC adalah kekurangan dana yang dihadapi oleh Jabatan Imigresen untuk membeli ubat untuk merawat penyakit kudis, TB, dan terutamanya untuk zaman sekarang — Covid-19. UNHCR juga baru-baru ini telah dihalang daripada memasuki depoh tahanan ini memandangkan Jabatan Imigresen berpendapat bahawa kad UNHCR telah diberikan kepada warga asing yang tidak layak menerimanya.

Semalam, kita mencatatkan 2643 kes Covid-19 baharu, berserta dengan sejumlah 537 kematian. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham mengatakan yang kita mungkin bakal menyaksikan sehingga 8000 kes menjelang bulan Mac sekiranya kita tidak meningkatkan usaha melawan wabak ini.

Namun begitu, selepas pemerhatian teliti, masih tidak ada sebarang angka yang kukuh mengenai jumlah pesakit yang dijangkiti di dalam Depoh Tahanan Imigresen dalam negara, berserta dengan pecahan pesakit — mengikut kategori lelaki, wanita, dan kanak-kanak.

Dalam jawapan Parlimen kepada pertanyaan saya kepada Kementerian Dalam Negeri yang bertarikh 30 November 2020, sejumlah 756 orang kanak-kanak berada dalam Depoh Tahanan Imigresen sehingga 26 Oktober 2020. 351 orang daripada mereka bersama dengan ibu bapa atau penjaga masing-masing dan baki selebihnya seramai 405 orang, bersendirian. 107 orang kanak-kanak ini berada di Bekenu, Sarawak, 167 orang di Belantik, Kedah, 121 orang di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 73 orang di Tanah Merah Merah, Kelantan. Angka ini berjumlah kepada 468 orang kanak-kanak yang dikira, namun begitu selebihnya tidak direkodkan. Sesetengah kanak-kanak ini mungkin merupakan mangsa perkahwinan kanak-kanak dan kebanyakkan mereka tidak mempunyai dokumen identiti yang menyebabkan proses mengenal-pasti mereka sukar.

Pasukan Tindakan Hal Ehwal Dasar Pekerjaan dan Buruh DAP telah meneliti laporan PAC ini dan telah membangkitkan isu mengenai pelarian atau juga yang dikenali sebagai PATI yang ditempatkan di pusat tahanan beserta dengan cadangan-cadangan untuk bergerak ke hadapan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di depoh-depoh ini.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, terdapat usaha untuk bergerak ke arah melaksanakan dasar “Alternatif kepada Penahanan” untuk kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan imigresen. Projek perintis ini melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, badan-badan persatuan sivil yang telah memperjuangkan isu supaya Malaysia boleh bergerak seiring dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa dalam menguruskan pendatang asing (perkataan pelarian tidak wujud di dalam bahasa perundangan Kerajaan dan undang-undang negara). PAC juga telah mencadangkan supaya semua kanak-kanak yang ditahan di pusat atau depoh tahanan imigresen untuk ditempatkan di rumah jagaan yang diuruskan oleh Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran. UNHCR juga perlulah diberikan akses untuk mendokumentasi, memerhati, dan mengesahkan mana-mana orang yang telah datang sebagai pelarian layak untuk menerima kad UNHCR. Saya menyeru kerajaan untuk memulakan inisiatif secepat yang mungkin.

Memandangkan terdapat kebimbangan yang serius dalam kalangan rakyat mengenai saiz wabak ini beserta dengan peningkatan kes positif baharu setiap hari, terdapat masalah yang lebih besar mengenai kemungkinan kewujudan kes positif di pusat tahanan imigresen dan mengenai bagaimana kerajaan menguruskan perkara ini dengan baik serta bagaimana kerajaan boleh dibantu untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan banduan pusat tahanan di depoh-depoh ini.

Saya menyokong penuh surat terbuka daripada 46 orang pengamal perubatan tersohor kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap status semasa penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Perkara ke-8 dalam surat mereka mencadangkan untuk “mempercepat proses pengawalseliaan imunisasi, sebaik sahaja dos pertama vaksin tiba di lapangan terbang. Makluman awal kepada rakyat berkaitan pencegahan Covid-19 dan membendung berita palsu mengenai vaksin akan memperkasakan rakyat dengan informasi dan persetujuan ketika Covid-19 vaksin tiba. Selain keutamaan diberikan vaksin kepada kumpulan berisiko tinggi, pertimbangan harus diberikan juga kepada golongan pekerja asing diindustri dan komuniti orang pelarian yang merupakan lubuk penyakit berjangkit. Kerajaan mesti menetapkan kos vaksin yang tidak melebihi RM100 bagi setiap dos bagi mereka yang mendapatkan suntikan di klinik swasta dan ujian RTK-Ag mesti tidak melebihi RM100 bagi setiap ujian untuk memastikan rakyat mampu menampung kos vaksin dan ujian dan negara mencecah liputan vaksin dan ujian yang tinggi yang bakal melindunginya daripada ancaman Covid-19 yang berterusan.”

Kerajaan harus meninggalkan pemikiran “Kerajaan tahu apa yang terbaik” dan perlulah bersifat terbuka untuk bekerja dengan idea-idea dan cadangan baharu, dan agensi yang pelbagai, termasuklah Kementerian Kesihatan, untuk memastikan golongan kanak-kanak dan wanita tidak lagi ditahan di pusat tahanan dan untuk memastikan pematuhan SOP Covid-19 untuk membendung risiko kewujudan kluster dalam kluster di depoh tahanan imigresen yang membahayakan nyawa pegawai imigresen serta keluarga mereka dan juga semua tahanan yang berada di dalam kawasan pusat tahanan ini.