Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berkongsi data prestasi pemberian suntikan dos penggalak (booster) sehingga 11 November 2021 adalah berjumlah 23,129penerima. Turut dinyatakan adalah seramai 40 peratus penerima janji temu dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera tidak hadir untuk menerima suntikan dos berkaitan.
Justeru, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Menangani Wabak COVID-19 yang berlangsung pagi tadi, beberapa ketetapan telah diputuskan dalam usaha meningkatkan kadar sedia ada:-
- Sebanyak 26 fasiliti swasta baharu bakal tersenarai sebagai pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan berbanding 47 buah kini;
- JKNPP menerima dua (2) permohonan untuk mewujudkan ‘Health Care Organisation’ (HCO) pusat pemberian suntikan dos penggalak di dewan yang lebih besar dengan kapasiti melebih 1,000 suntikan/sehari;
- Pelbagai agensi berganding bahu dalam meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendapatkan dos berkenaan;
- Tumpuan turut diberikan kepada kes-kes suntikan dos kedua termasuk (kes) yang tercicir.
JKNPP dalam pada itu turut menekankan bahawa penularan jangkitan COVID-19 masih berlaku dalam komuniti. Justeru, umum adalah digalakkan untuk mengamalkan Kesihatan Awam Kendiri/TRIIS (Test, Report, Inform, Isolate, Seek) khususnya segera membuat ujian saringan sama ada secara kendiri atau di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami simptom-simptom jangkitan seperti selesema, demam, batuk dan lain-lain bagi kawalan penularan di peringkat awal. Pendekatan berkaitan juga merupakan kunci bagi mengawal perebakan varian Delta yang turut dikesan di negeri ini.
Secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan penurunan kes COVID-19 yang sangat ketara berbanding catatan tertinggi yang dilaporkan pada bulan September 2021. Begitu juga trend kes kematian dan Brought in Death (BID) yang dilaporkan kini. Justeru, bagi memastikan ia terus terkawal, semua pihak khususnya mereka yang positif dan menerima arahan ‘Home Surveillance Order’ (HSO) menerusi aplikasi MySejahtera walaupun tanpa gelang ‘pink’ secara fizikal adalah ditegaskan supaya mengikut arahan dikeluarkan. Malah, masyarakat umum juga diseru supaya membuat laporan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sekiranya mengesan sebarang pelanggaran oleh individu-individu berkenaan.
Kepelbagaian pendekatan, strategi dan penyelarasan bersepadu yang dilaksanakan melalui pelbagai medium dan agensi dalam tempoh dua (2) tahun ini telah berjaya meletakkan Pulau Pinang dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 8 November 2021. Walau bagaimanapun, saya ingin terus menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya tidak lalai dan leka kerana perjuangan menentang wabak COVID-19 belum berakhir memandangkan virus tersebut masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat. Terus amalkan disiplin diri, disiplin masyarakat serta disiplin warganegara.
Penang Lawan COVID-19!