Makcik dan pakcik di kampung mungkin kurang merungut tentang perlunya beratur di tandas kerana jarak rumah ke rumah atau kedai runcit dan rumah tidaklah jauh. Berbeza halnya apabila kelompok ini mula menggunakan tandas di pasaraya-pasaraya besar. Ada banyak kompleks membeli belah antaranya seperti Queensbay Mall, Gurney Plaza, Gurney Paragon, Bukit Jambul, Straits Quay di Pulau Pinang. Kompleks membeli belah ini sentiasa dikunjungi lelaki dan wanita terutamanya pada hujung minggu.
Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk menonton wayang, pasti ramai wanita yang bergegas untuk ke tandas untuk mengelak beratur lebih lama. Kejadian seperti ini dapat diperhatikan di Queensbay Mall yang majoriti kita menganggap ia sebagai gejala biasa yang perlu dilalui. Ini merupakan tindakan dan cara fikir yang tidak betul memandangkan perlunya untuk wanita juga menikmati kemudahan mengikut keperluan mereka. Bukan sahaja di kompleks membeli-belah Queensbay Mall, tetapi juga di tempat-tempat seperti restoran mamak Khaleel, kedai makan Mee Udang di Sungai Dua Seberang, stesen minyak Shell, pasaraya Tesco, juga mempunyai tandas yang perlu dikongsi bersama atau mempunyai tandas lelaki dan wanita dalam nisbah 1:1. Ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai tetapi pekerja yang terdiri daripada wanita.
Setiap manusia iaitu wanita dan lelaki mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza. Keperluan individu ini terpenuh apabila layanan yang diberikan mengikut keperluan. “Formal equality” bermaksud memberikan layanan yang sama kepada lelaki dan wanita berbanding “substantive equality” yang menekankan layanan yang adil kepada lelaki dan wanita mengikut keperluan. Jika mengambil kira konsep “substantive equality”, wanita pasti akan disediakan tandas yang mencukupi tanpa perlu menunggu lebih lama untuk menggunakan tandas.
Di kebanyakan tempat seperti di restoran, agensi kerajaan, universiti, stesen komuter, lapangan kapal terbang, tandas yang dibina untuk wanita mengikut jumlah dan saiz yang sama seperti tandas lelaki tanpa mengambil kira pekerja dan pelajar yang lebih ramai terdiri daripada kelompok wanita. Malah, jika diberi nisbah lelaki dan wanita yang sama, masa yang diperuntukkan untuk wanita menggunakan adalah lebih lama. Walaupun di sesetengah tempat seperti kompleks membeli-belah mempunyai tandas wanita yang lebih tetapi ini disebabkan persepsi bahawa ramai wanita menghabiskan masa membeli-belah. Keadaan bias gender ini telah menidakkan keperluan tandas wanita yang lebih di tempat lain seperti di tempat kerja kerana mereka juga berperanan di ruang awam sebagai peguam, doktor, ahli politik, buruh, dan lain-lain.
Negara China di antara negara yang menghadapi masalah serupa, dan sekumpulan aktivis telah melakukan operasi “Occupy Men’s Toilets” sambil menerangkan kenapa wanita memerlukan tandas yang lebih. Kempen ini berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai dan kerajaan tempatan telah mengambil inisiatif meningkatkan jumlah tandas di Guangzhou, Xinhua. Di Taiwan, setidaknya mempunyai nisbah lelaki dan wanita, 1:3 sementara Hongkong mencadangkan nisbah 2:3. Sejak 20 tahun, keadaan ini semakin baik dan kerajaan China telah membeli 19 juta tandas setahun. Malah, China juga telah mempengerusikan World Toilet Organization’s 11th World Toilet Summit and Expo di Hainan.
Kerajaan Malaysia juga seharusnya mengambil langkah produktif dalam membuat dasar dan mereka bangunan agar lebih inklusif terhadap setiap kelompok masyarakat dengan keperluan yang berbeza. Keperluan akan tandas juga adalah hak asasi yang perlu dinikmati oleh setiap kelas masyarakat – lelaki wanita, kaya miskin, tua muda dan OKU. Oleh itu, Kesetaraan Substantif (Substantive Equality) perlu diambil kira bagi membolehkan setiap individu mempunyai akses dan peluang yang setara dan adil. Rakyat mempunyai hak untuk kehidupan dan perkhidmatan yang lebih baik. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakannya kepada setiap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi kelompok yang memerlukan kerana mereka inilah yang sering dipinggirkan dalam pembangunan dan tidak mempunyai alternatif lain seperti kelompok yang menduduki hierarki tinggi.