Skip to content

Tarik balik perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), utamakan kesihatan daripada kemewahan

Gambar dan video yang ditular jelas menunjukkan kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Garis Panduan SOP PKPB serta kawalan perjarakan sosial dan pemakaian topeng muka yang disalah-pakai.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menunjukkan bahawa peningkatan angka kes positif selama tiga hari ini:

  • *55 kes* termasuk 7 kes import pada hari ini *4 Mei 2020*
  • *122 kes* termasuk 52 kes import pada hari Ahad *3 Mei 2020*
  • *105 kes* termasuk 11 kes import pada hari Sabtu *2 Mei 2020*

Angka-angka kes positif Covid19 setelah 48 hari PKP semenjak 18 Mac 2020 yang lalu ini masih bergelombang sehingga ke hari ini.

Kesan negatif akibat ancaman penularan Virus Covid19 terhadap ekonomi berlaku bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia.

Pelaksanaan PKPB ini tidak seharusnya dijalankan langsung semata-mata untuk mengutamakan kemewahan ekonomi daripada kesihatan sebaliknya Kerajaan PN seharusnya mengkaji semula dan berbincang semasa Persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020 yang akan datang tidak lama lagi.

Perbincangan terperinci pembendungan Covid19 harus dibawa ke sesi sidang parlimen yang penuh dan bukanlah sehari untuk mencapai pembukaan semula ekonomi secara berperingkat yang sepatutnya langkah yang betul melalui pertimbangan dan pengkajian yang menyeluruh dan bukan secara tergesa-gesa seperti PKPB ini yang besar kemungkinan akan mengakibatkan jangkitan Covid19 merebak dengan pantas dan tidak terkawal dan mewujudkan kluster yang baru kerana kegagalan kawalan perjarakan sosial jangkitan dan barisan hadapan yang jelas kepenatan teramat khususnya di masa ini.

Garis Panduan serta SOP pembukaan ekonomi semula adalah amat penting dan memerlukan masa yang panjang untuk dikaji, dibincang dan dibuka untuk menerima pandangan input sektor industri ekonomi dan orang awam agar pemahaman menyeluruh dapat dicapai.

Kegagalan pemahaman garis panduan SOP serta pelaksanaan PKPB yang tergesa-gesa inilah mengundang apa yang berlaku pada hari ini dimana perjarakan sosial tidak dikelihatan dan orang ramai dikelihatan berpusu-pusu beratur memasuki pusat membeli belah tersebut.

Di saat pasukan barisan hadapan negara yang masih bekerja bertungkus lumus membendung penularan Covid19 ini, saya menggesa Kerajaan PN supaya menimbang semula dan menamatkan PKPB ini secepat mungkin agar tidak akan mewujudkan kluster yang baru.

Sebarang pelaksanaan pembukaan ekonomi semula dan pertimbangan yang lain oleh Kerajaan PN seharusnya dibawa berbincang secara terperinci dengan semua Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dan juga mengambil kira keselamatan rakyat di masa yang amat mencabar ini.