Skip to content

Tegakkan Keadilan Untuk Zara

1. Ketua Angkatan Muda HARAPAN (AMH), YB Woo Kah Leong menyeru semua agensi penyiasatan yang berkenaan untuk SEGERA menyiasat semula kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina.

2. Kes Zara telah menimbulkan kegusaran dan perhatian luas di seluruh negara, bukan sahaja di negeri Sabah. Kes ini bukan sahaja melibatkan kehilangan seorang anak, tetapi juga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan, integriti dan keberkesanan institusi negara.

3. Negara kita tidak boleh membiarkan seorang kanak-kanak meninggal dunia tanpa sebarang penjelasan. Kebenaran adalah satu keperluan mutlak, dan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan proses siasatan dijalankan secara telus, adil dan bebas daripada sebarang campur tangan.

4. Rakyat berhak mengetahui perkembangan kes ini dan hasil siasatan yang sebenar. Inilah asas kepada hak untuk mendapat maklumat (right to know) dalam sebuah negara demokrasi.

5. Sekiranya hasil siasatan membuktikan bahawa terdapatnya unsur buli di sekolah, maka adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan untuk memandang serius isu ini dan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap mekanisme pencegahan serta perlindungan pelajar.

6. Semua pihak wajib memastikan keselamatan generasi muda di dalam institusi pendidikan terjamin, agar tiada lagi nyawa yang terkorban akibat kegagalan sistem.

7. AMH menyokong penuh segala usaha untuk menyiasat semula kes ini demi memberikan keadilan kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, dan memulihkan maruah institusi penyiasatan serta sistem kehakiman negara.

8. Hanya dengan kebenaran yang terbuka dan keadilan yang tuntas, barulah kepercayaan rakyat terhadap institusi negara mampu dibina semula.

9. Seperti mana pesanan PMX, negara kita tidak boleh membenarkan ada tangan ghaib yang melindungi individu yang membuli dan membunuh. Semua yang melakukan kesalahan jenayah harus dihadapkan ke muka pengadilan.