1. Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa beberapa suspek yang terlibat dalam kes Zara di mahkamah. DAPSY menegaskan bahawa rakyat berhak untuk mengetahui perkembangan siasatan ini, dan pihak polis serta semua agensi penyiasat mesti memastikan tiada mana-mana pihak dilindungi dalam hal ini.
2. Kes Zara telah menimbulkan gelombang keresahan rakyat di seluruh negara. Oleh itu, isu ini mesti ditangani dengan penuh ketelusan bagi memastikan prinsip “justice must not only be done, but also be seen to be done” benar-benar dilaksanakan.
3. DAPSY ingin menekankan bahawa kes ini bukan semata-mata isu jenayah, tetapi juga satu loceng amaran atau ‘wake-up call’ kepada sistem pendidikan negara. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil iktibar dengan mengatasi kelemahan struktur yang wujud, termasuk menubuhkan saluran aduan yang berkesan supaya setiap pelajar yang menjadi mangsa buli mempunyai mekanisme perlindungan yang kukuh.
4. Hakikatnya, kes Zara bukanlah kes terpencil. Kebelakangan ini, kes buli di Maktab Rendah Sains MARA di Terengganu turut mendapat perhatian; manakala pada November tahun lalu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) juga terpalit dengan kes serius. Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sebanyak 31 kes buli telah dilaporkan di universiti awam dalam tempoh 11 tahun lalu. Namun angka rasmi ini berkemungkinan hanyalah sebahagian kecil daripada realiti sebenar yang lebih parah.
5. Untuk membanteras budaya buli, DAPSY percaya bahawa reformasi kurikulum adalah amat diperlukan. Daripada terus meminta warga sekolah untuk melaungkan slogan setiap hari, kementerian tersebut harus melaksanakan kurikulum Pendidikan Sivik yang sistematik. Pendidikan ini perlu mendidik pelajar tentang perihal hormat antara satu sama lain dan juga sempadan hubungan sesama manusia, serta pemahaman terhadap masyarakat majmuk.
6. Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita menekankan pembangunan menyeluruh dalam aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, iaitu sejajar dengan konsep pendidikan sivik atau pendidikan am di negara-negara maju yang lain. Namun, pendekatan pendidikan moral yang sedia ada terbukti gagal untuk membentuk daya fikir kritis dan tidak mampu membendung budaya buli dengan berkesan. Oleh itu, kementerian tersebut perlu mengkaji segera pelaksanaan Pendidikan Sivik sebagai langkah jangka panjang.
7. Himpunan rakyat yang berlangsung di seluruh negara demi menuntut keadilan untuk Zara adalah isyarat jelas bahawa masyarakat tidak lagi sanggup melihat budaya buli dibiarkan berakar. Kerajaan Perpaduan mesti menangani isu ini dengan serius dan mengemukakan langkah reformasi konkrit bagi membuktikan kerajaan berdiri bersama mangsa serta rakyat.
8. DAPSY menegaskan bahawa hanya dengan siasatan menyeluruh, keadilan kehakiman, serta reformasi pendidikan yang serentak, barulah kita mampu memberikan jawapan yang munasabah kepada mangsa dan masyarakat. Kerajaan perlu menunjukkan iltizam politik yang jelas untuk memastikan tiada sesiapa pun terlepas daripada undang-undang, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka.