Skip to content

Teks perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2022 oleh ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2022 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada hari Isnin yang lepas.

Terima kasih kepada barisan depan, Frontliner yang kita hormati kerana melindungi kita ketika wabak COVID-19 yang menular di seluruh negara.

Yang Berhormat Tuan yang Dipertua,

Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini tentang beberapa perkara yang tidak dibawa dalam Belanjawan Negeri tahun 2022.

Pertamanya adalah pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands. Menurut jawapan bertulis yang disediakan oleh JKR Pahang, kajian kebolehlaksanaan Jalan Pintasan Cameron Highlands telah berjaya dilakukan dan 3 opsyen telah disyorkan oleh pihak perunding kepada pihak kerajaan.

Berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) yang lalu, opsyen 3 telah dipersetujui iaitu jejambat dan terowong akan dibina dari Ringlet ke Jalan Persekutan FT185 dengan beberapa kajian lanjut dan penambahbaikan perlu diambil kira oleh pihak perunding.

Namun begitu, saya dimaklumkan bahawa keputusan kajian sebenar hanya akan diketahui selepas tempoh kajian dibentangkan iaitu selepas 7 Oktober 2021.

Memandangkan opsyen ke-3 yang disyorkan melibatkan pembinaan terowong maka timbulnya kebimbangan bahawa adakah sesuai membina terowong di kawasan tanah tinggi?

Oleh itu, saya ingin memohon pencerahan dan penghuraian lanjut tentang pembinaan tersebut daripada pihak kerajaan. Pembinaan jalan pintasan adalah projek yang dinanti-nantikan oleh orang ramai bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands, saya amat berharap pembinaan tersebut boleh direalisasikan secepat mungkin demi kebaikan semua.

Yang Berhormat Tuan yang Dipertua,

Perkara kedua, iaitu kegagalan cerun dan kejadian tanah runtuh yang sering berlaku dalam atau di sekitar Daerah Cameron Highlands. Dalam bulan ini kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang meragut 2 nyawa ekoran hujan lebat berterusan.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa kejadian tersebut.

Sungguhpun kejadian tersebut bukannya berlaku di dalam Negeri Pahang di mana lokasinya terletak di sempadan Negeri Perak. Namun begitu, Jalan Tapah-Ringlet dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley merupakan antara 2 jalan utama memasuki Cameron Highlands.

Kita dimaklumkan bahawa kejadian tanah runtuh Jalan Simpang Pulai (FT-185) yang berlaku pada bulan September lalu adalah disebabkan hakisan dan pergerakan tanah di kaki cerun yang telah menerima hujan yang lebat. Lantaran itu tiada sokongan yang kuat bagi bahagian atas cerun lalu keseluruhan tanah menggelongsor ke bawah termasuk sebahagian jalan raya.

Manakala kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai tetapi di lokasi berlainan yang berlaku pada minggu lalu adalah berpunca dari bahagian atas puncak bukit ekoran hujan lebat. Selalunya tanah runtuh jenis ini di lereng bukit akan membawa sekali tanah dan pokok-pokok yang di luar kawasan tarahan bukit.

Jelas sekali, sudah pasti punca utama kejadian tanah runtuh ini adalah hujan yang berterusan dan lebat. Namun begitu, ia tidak boleh menjadikan alasan untuk membiarkan kejadian tanah runtuh ini terus memberi ancaman kepada pengguna jalan raya.

Kita perlu satu solusi jangka panjang untuk mengurangkan risiko kegagalan cerun. Namun di Malaysia selalunya tiada peruntukan yang khusus untuk pihak KKR atau JKR bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan cerun. Cuma setelah berlaku kejadian tanah runtuh barulah kerja-kerja penstabilan cerun (slope stabilisation) dilakukan.

Dengan teknologi yang canggih sekarang, pihak JKR haruslah mampu selalu memantau dan memeriksa keadaan cerun yang berisiko, contohnya dengan penggunaan dron. Fokus kita tentulah kawasan yang berisiko tinggi tanah runtuh khususnya di kawasan tanah tinggi.

Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan bolehlah memberi peruntukan pemantauan dan pemeriksaan cerun bagi mengurangkan risiko kegagalan cerun kepada orang ramai.

Yang Berhormat Tuan yang Dipertua,

Perkara yang ketiga adalah isu yang paling hangat sekarang iaitu kenaikan harga barangan keperluan mendadak.

Orang ramai banyak meluahkan rasa terbeban dan terkesan dengan kenaikan harga barang mentah seperti ayam, daging dan sayur-sayuran serta barang keperluan asas seperti minyak dan produk tenusu.

Punca kenaikan harga barangan adalah banyak, semua aspek dalam rantaian penghasilan, pemprosesan, penghantaran dan pembekalan telah meningkatkan kosnya masing-masing. Harga komoditi yang tinggi, kos pengangkutan menaik dan kekurangan tenaga buruh meningkatkan kos perniagaan mendorong harga barangan menaik mendadak.

Tambahan pula, kita melihat keadaan di mana cuaca buruk menyekat bekalan makanan, menjadikannya lebih mahal. Ini amat membimbangkan kerana ia menghakis kuasa beli pengguna, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Kami menjangkakan harga barang keperluan terus meningkat pada bulan-bulan akan datang seperti yang boleh dilihat di negara lain.

Itu sebabnya kenapa saya sering menyeru kepada pihak kerajaan bagi memberi pengecualian cukai atau sewaan tanah kepada pekebun dan petani dalam tempoh 2-3 tahun ini bagi mengurangkan kos pengeluaran makanan.

Untuk Cukai Kelestarian yang akan mula dilaksanakan pada tahun depan, iaitu kadar cukai 3 ringgit dikenakan kepada penginap hotel bagi satu malam, saya berpendapat bahawa belum lagi masa yang sesuai untuk melaksanakan dasar ini.

Sektor pelancongan belum lagi pulih dari pandemik COVID-19, sedangkan varian baru COVID iaitu OMICRON boleh menjadi ancaman baru untuk negara, sempadan negara masih tertutup, pelancong asing masih tiada, masih ramai pengusaha pelancongan dalam keadaan yang agak pahit.

Saya difahamkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri adalah dalam keadaan yang sihat dan baik, tetapi rakyat tidak. Sekali lagi saya menegaskan bahawa tiada makna kita mengutip cukai pelancongan daripada rakyat sendiri.

Yang Berhormat Tuan yang Dipertua,

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, agensi dan badan berkanun kerajaan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Negeri Pahang.