Skip to content

TEKS PERBAHASAN MENJUNJUNG KASIH TITAH DIRAJA 2026 OLEH AHLI PARLIMEN BATU KAWAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada Batu Kawan menyertai perbahasan menjunjung kasih Titah Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang sangat tegas dan jelas, serta mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta negara secara keseluruhannya.

Titah Diraja telah menyentuh mengenai pelbagai perkara penting termasuk aspek tadbir urus ekonomi dan kebajikan rakyat, amalan rasuah yang masih berleluasa, kepentingan reformasi institusi, sistem pendidikan negara serta asas pembentukan Malaysia. Saya menyokong penuh penegasan baginda yang menyeru kita semua untuk kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, ucapan saya pada hari ini akan memfokuskan kepada penegasan baginda bahawa sebarang perbezaan pandangan haruslah diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka. Perkara ini sangat berkait rapat dengan isu yang sedang dibangkitkan kebelakangan ini iaitu mengenai tuntutan Menteri Besar Negeri Kedah ke atas Pulau Pinang yang mana boleh saya sifatkan sebagai tidak berasas serta telah menimbulan kekeliruan awam dan polemik yang tidak perlu dalam kalangan rakyat sejagat.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin menegaskan bahawa sejak dari awal lagi, tuntutan Kedah adalah amat tidak wajar dan tidak berasas dari sudut perundangan dan bertentangan sama sekali dengan prinsip Persekutuan Malaysia yang kita junjung bersama sejak sekian lama.

Dari sudut perundangan, jelas bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, yang mana selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat, setaraf dengan negeri-negeri lain termasuk Kedah.

Kedudukan ini diperkukuhkan lagi apabila Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai dan sejak itu, Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukannya kepada mana-mana tuntutan sejarah prakemerdekaan.

Malah, sempadan negeri juga telah ditetapkan secara muktamad melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325], yang digubal di Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan. Dalam sistem Persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah secara sewenang-wenangnya, apatah lagi melalui kenyataan politik tanpa proses perundangan yang sah, dan tuntutan ini jelas bercanggah dengan semangat federalisme. Perlu diingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dibina atas prinsip kesetaraan negeri dan penghormatan terhadap kedaulatan masing-masing. Jika tuntutan sebegini dibenarkan, maka kita sebenarnya membuka ruang kepada tuntutan-tuntutan lain yang boleh menggugat kestabilan negara pada masa akan datang.

Tuan Yang Dipertua,

Izinkan saya merujuk kepada satu duluan (precedent) perundangan yang amat penting iaitu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas negeri Sabah, yang sering digunakan sebagai contoh bagaimana tuntutan sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan perlembagaan.

Dalam pelbagai prosiding undang-undang yang melibatkan waris Kesultanan Sulu, termasuk tindakan timbang tara dan litigasi di peringkat antarabangsa, pendirian konsisten Kerajaan Malaysia bahawa tuntutan berasaskan sejarah atau pajakan lama tidak memberi hak kedaulatan, sekali gus menegaskan bahawa kedaulatan Sabah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, pembentukan Malaysia 1963 serta pengiktirafan antarabangsa.

Oleh itu, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa tuntutan Menteri Besar Kedah ke atas Pulau Pinang adalah tidak mengikut perlembagaan, sama seperti tuntutan Sulu ke atas Sabah yang telah ditolak melalui prinsip undang-undang dan kedaulatan negara. Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya sebarang naratif atau provokasi yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat keharmonian awam, terutama melibatkan hubungan antara negeri.

Tuan Yang Dipertua,

Sudah tiba masanya untuk menghentikan retorik politik yang pada hemat saya tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat dan negara. Marilah kita memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap agenda yang lebih besar iaitu usaha membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Pulau Pinang tidak berniat untuk menoleh ke belakang, melainkan terus mengorak langkah ke hadapan dengan segala daya upaya dan pelbagai perancangan strategik bagi meningkatkan mutu kehidupan rakyat serta memperkukuh kedudukan ekonomi negeri. Antaranya ialah satu aspirasi penting iaitu cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang, atau ringkasnya PIFC.

Saya ingin menegaskan bahawa rancangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kewangan bukanlah idea bermusim atau slogan semata-mata, tetapi merupakan aspirasi jangka panjang bagi memperkukuh asas ekonomi negeri dalam kerangka yang lebih besar iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab inovasi teknologi serantau yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

Saya juga ingin menjelaskan bahawa Pulau Pinang tidak boleh dan tidak seharusnya bersaing secara langsung dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai hab kewangan umum negara kerana Kuala Lumpur sememangnya mempunyai ekosistem yang tersendiri sebagai pusat kewangan nasional. Namun, Pulau Pinang juga mempunyai satu kekuatan yang sangat unik iaitu ekosistem perindustrian dan pembuatan berteknologi tinggi yang telah lama terbina. Justeru, Pulau Pinang akan memfokuskan kepada segmen kewangan khusus iaitu aset digital, teknologi kewangan atau fintech dan perkhidmatan kewangan berkaitan pembuatan, termasuk pembiayaan rantaian bekalan, perdagangan, pengurusan risiko serta inovasi industri.

Tuan Yang Dipertua,

Kita tidak boleh membincangkan mengenai pusat kewangan tanpa bercakap tentang tadbir urus dan kawal selia. Jadi di sini, saya ingin memaklumkan bahawa perbincangan pada peringkat tertinggi bersama-sama dengan pengawal selia utama sedang dijalankan, termasuk pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan atau Labuan Financial Services Authority (LFSA). Tujuan perbincangan ini adalah untuk memastikan cadangan yang dikemukakan bukan sahaja bersifat inovatif, tetapi juga mematuhi perundangan.

Justeru, adalah menjadi harapan Pulau Pinang agar Kerajaan Persekutuan dapat mepertimbangkan permohonan ini, dan seterusnya bersama merealisasikan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang, PIFC.

Sekian, terima kasih.