Salam Sejahtera dan Salam Bersih.
Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2016 dan terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja PDC dan semua jemputan yang hadir.
Di sebalik sambutan yang cukup meriah ini, janganlah dilupakan golongan yang tidak bernasib baik. Saya juga difahamkan pihak PDC telah mengadakan 2 program Tanggungjawab Sosial Korporat yang dianjurkan oleh Persatuan Kakitangan Islam PDC dengan mengadakan Program Pembelian Baju Raya bersama anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf zakat dari Pusat Jagaan Kasih Abadi, Seberang Jaya yang telah diadakan pada 2 Julai 2016, bertempat di Mydin Bukit Jambul. Tahniah dan syabas diucapkan.
Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan amalan urus tadbir yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersih dari unsur-unsur negatif. Saya yakin Pengurusan dan warga PDC akan teruskan amalan ini, berkhidmat dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).
Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tahun 2015, Pulau Pinang berjaya mendapat FDI terbesar di kalangan negeri lain (projek yang diluluskan oleh MIDA), iaitu RM4.5bilion (20.5% daripada jumlah FDI untuk Malaysia). Walau bagaimanapun, bagi jumlah FDI dan DDI, Pulau Pinang menduduki tempat kelima, dengan RM6.7 bilion (9% daripada jumlah pelaburan di Malaysia). Manakala dari Januari sehingga Mac 2016, jumlah FDI dan DDI untuk negeri ini adalah RM 1.34 bilion iaitu menduduki tempat ketiga di antara negeri-negeri di Malaysia.
Sungguhpun ada kilang-kilang yang ditutup kerana penstrukturan semula dalam industri elektronik sedunia, ada kilang baru yang dibuka di Pulau Pinang. Pulau Pinang masih kekurangan pekerja dengan kadar pengangguran yang terendah sebanyak 1.5%.
Antara pelaburan baru-baru ini di Pulau Pinang bukan sahaja dalam pembuatan E&E, tetapi juga peralatan perubatan dan sektor LED termasuk :-
- Kemudahan baru Hewlett Packard seluas 20 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan, satu projek pelaburan lebih RM1 bilion, telah mula beroperasi dengan kira-kira 300 orang kakitangan.
- Boston Scientific, peneraju global dalam peralatan perubatan, merancang untuk melabur RM223 juta dan telah memulakan pembinaan kilang mereka di Taman Perindustrian Batu Kawan.
- Taman perindustrian yang sama, Broadcom (dahulunya Avago) sedang giat membangunkan pusat logistik global baru. Ini sebahagian daripada RM1 bilion (US$ 250 juta) pelaburan baru mereka di Pulau Pinang bagi produk dan ujian pembangunan, perancangan rantaian bekalan, logistik dan perolehan.
- KLS Martin, sebuah syarikat yang terkenal di dunia dari segi perubatan juga telah mula beroperasi di Juru dengan 40 orang pekerja melibatkan pelaburan sebanyak RM8 juta.
- Osram Opto Semiconductor- fasiliti baru PEN 33 bernilai RM15.5 juta di BLIP Fasa 1 (sedang dibangunkan oleh PDC) akan menempatkan sehingga 300 orang pekerja daripada R&D, SSL segmen Perniagaan, Pembelian, Pengawalan dan IT.
Pulau Pinang juga telah menunjukkan pertumbuhan yang besar dari segi pelaburan baru dalam sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), termasuk di SSO, BPO dan KTO. Berikutan penubuhan pusat perisian oleh Kerry Logistics di Cybercity Pulau Pinang, 3 buah syarikat sedang membuat persediaan untuk memulakan operasi GBS mereka. Ini akan secara rasminya diumumkan kemudian. Ketiga-tiga fasiliti ini, secara keseluruhan, akan menampung kira-kira 700 tempat iaitu peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.
Seperti yang anda sedia maklum, PDC juga telah menandatangani perjanjian usaha sama RM1.3 bilion dengan pihak Singapura Temasek dan Economic Development Innovations Singapore (EDIS) bagi pembangunan Projek BPO Prime di sini di Bayan Baru. Pada masa yang sama, Malaysia’s state-owned enterprise (SOE) Sime Darby juga memeterai RM2 bilion perjanjian usaha sama dengan PDC untuk membangunkan teknologi tinggi SME park. Dengan kedua-dua Kerajaan ‘ Malaysia dan Singapura yang melabur di Pulau Pinang, ini akan memberikan satu keyakinan masa depan yang cerah untuk PDC dan Pulau Pinang.
Kerajaan bersih boleh memanfaatkan rakyat biasa. Kebenaran bahawa Kerajaan Negeri dan pemimpinnya bersih dibuktikan dalam lebihan Belanjawan setiap tahun, hutang Kerajaan Negeri yang paling rendah di Malaysia sebanyak RM69 juta daripada keseluruhan hutang oleh Kerajaan Negeri lain sebanyak RM18.1 bilion serta pemberian bantuan kewangan sebanyak RM400 juta kepada rakyat sejak tahun 2008 atau 12% daripada Belanjawan tahunan.
Lagipun, Bonus Raya yang lebih oleh Kerajaan Negeri tahun ini sebanyak 0.75 bulan (berbanding dengan 0.5 bulan tahun lepas) dengan minima RM700 untuk kesemua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri juga diharapkan dapat memeriahkan dan mengimarahkan sambutan Hari Raya di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan terus membuktikan yang kita adalah bersih dan tidak makan wang selaras dengan seruan “Amar Maaruf Nahi Mungkar”.
Harus juga dijauhi gejala fitnah dan pembohongan yang bukan sahaja akan mengancam perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk tetapi memberi kesempatan kepada para ekstrimis untuk menangguk di air keruh. Kenyataan bahawa orang bukan Islam daripada DAP adalah kafir harbi, di mana darah selepas dibunuh dan harta benda yang dirampas adalah halal, hanya mengundang pemikiran songsang ISIS yang sungguh merbahaya dan menggugat keamanan, harmoni dan hubungan silaturahim di Malaysia.
Sememangnya fitnah jahat bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemimpinnya adalah anti-Islam masih berleluasa sampai ke tahap yang karut bahawa Kerajaan Negeri telah mengharamkan laungan azan. RM50 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk Hal Ehwal Islam setiap tahun yakni 100% lebih tinggi daripada kerajaan sebelum ini.
Pihak yang tidak bertanggungjawab juga mendakwa bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat hanya RM1.75 juta setahun. Sejak 2008 hingga 2015, Kerajaan Negeri telah menghulurkan peruntukan sebanyak RM41.6 juta dan sekiranya mengambilkira kos pengambilan tanah untuk SAR diambikira, jumlah tersebut akan mencecah RM45 juta. Baru-baru ini Kerajaan Negeri baru mengumumkan tambahan RM15 juta untuk membina sebuah SAR di Teluk Kumbar.
Dalam aspek tanah, Kerajaan Negeri juga menyumbangkan tanah bernilai RM80 juta untuk membina Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang di Jalan Scotland sebagai lambang penghormatan kepada agama Islam.
Akhir kata, marilah kita mengamalkan kehidupan yang bersih dalam kehidupan seharian kita. Janganlah yang hitam jadi putih atau putih jadi hitam atau yang maaruf jadi mungkar dan yang mungkar jadi maaruf.
Saya dengan ini, sekali lagi ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua muslimin dan muslimat yang hadir pada hari ini dan seterusnya dengan penuh rasa kesyukuran, dengan ini merasmikan ‘MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PDC 2016’.
Maaf Zahir dan Batin!
Sekian, terima kasih.