Saya bangun untuk menyokong Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh YAB Ketua Menteri. Ini merupakan Belanjawan yang ke-11 di bawah Kerajaan Pakatan tetapi yang pertama di bawah Kerajaan Persekutuan baru buat kali pertama dalam 61 tahun. Memang peralihan kuasa ini tak diduga dan adalah bukti kebijaksanaan rakyat bukan sahaja dalam membuat keputusan tetapi dalam memastikan ia berjalan secara aman dan damai. Memang ia merupakan satu detik bersejarah yang tak disangka berlaku tetapi seperti yang selalu diungkapkan. “Manusia boleh merancang, tetapi Tuhan yang menentukan segalanya”.
Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas sokongan padu rakyat khususnya di Pulau Pinang yang sudah bersama dengan pihak Pakatan Harapan sejak tahun 2008 dan merupakan pelopor untuk memenangi Putrajaya pada 9 Mei 2018. Belanjawan pertama YAB Ketua Menteri dibentangkan berpandukan kepada Penang2030 yang berteraskan 4 tonggak utama. Aspirasi ini selaras dengan prinsip perjuangan yang didokong oleh Pakatan Harapan dan kini diterjemahkan dalam Kerajaan Persekutuan yang baru, iaitu:
i) memastikan sebuah negara bersih yang bebas daripada rasuah dan kleptokrasi;
ii) menjamin pembangunan ekonomi mampan yang berteraskan keusahawanan; dan
iii) meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.
Kejayaan Pulau Pinang selama ini adalah berdasarkan kepada pentadbiran bersih berasaskan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang membolehkan Pulau Pinang menjadi satu-satunya negeri dalam Malaysia yang mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun sejak 2008, menaikkan rizab aset sehingga mencecah RM2.1 bilion sekarang berbanding dengan RM849 juta pada 2007, dan mengurangkan hutang sebanyak 90% kepada RM63 juta, yang terendah di Malaysia. Mujurlah kedudukan kewangan Pulau Pinang lebih baik di bawah Pakatan berbanding dengan Putrajaya di bawah Barisan Nasional atau negeri-negeri lain di bawah parti lawan yang lain.
Sejak Pakatan menjadi Kerajaan, bonus penjawat awam diberi pada tahun yang sama tetapi untuk Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional bonus selalunya dibayar pada tahun berikutnya. Buat kali pertama untuk Persekutuan bonus dibayar pada tahun yang sama sebelum pembukaan sekolah.
Pulau Pinang telah menikmati dekad ke-2 abad ke-21 yang memberangsangkan. Berlaku pembaharuan, daripada negeri yang digelar Darul Sampah sehingga menjadi bandar yang paling bersih di ASEAN serta bandar sesuai didiami utama di Malaysia dan ke-8 di Asia seperti yang disenaraikan oleh ECA International pada tahun 2012.
Walaupun tanpa bantuan daripada Kerajaan Pusat sebelum ini, ekonomi negeri tetap membangun pesat. KDNK per kapita negeri meningkat daripada RM31,381 pada 2007 kepada RM49,873 pada 2017. Kita terus menjadi destinasi pilihan pelaburan langsung asing pembuatan berjumlah sebanyak RM8.5 bilion pada tahun 2017. Antaranya adalah syarikat-syarikat utama di peringkat antarabangsa seperti Boston Scientific dan Japan Lifeline yang akan membuat pelaburan baharu terutamanya di Batu Kawan.
Pada masa yang sama, kekayaan negeri yang dijana dikongsi bersama semua lapisan masyarakat. Konsep masyarakat penyayang telah direalisasikan melalui program emas dan Agenda Ekonomi Saksama Kerajaan Negeri. Program “cash transfer” Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dimulakan pada tahun 2009 menjadi model kepada program BR1M oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu dan kini kita telah menamakan semula BR1M ini kepada program Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh Kerajaan Persekutuan masa kini. Program AES Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berjaya menukarkan kaedah pemberian wang bantuan AES daripada bentuk Unconditional Cash Transfers kepada Conditional Cash Transfers pada tahun 2015, dimana sesiapa yang mendapat bantuan ini mesti memenuhi beberapa syarat yang mudah dipenuhi seperti mereka menghantar anak-anak ke sekolah dan mereka berbadan sihat.
Demi mengecapi kemajuan berterusan untuk dekad ke-3 abad ini yang akan disambut menjelang 2020 nanti, Pulau Pinang mesti bersiap sedia menyahut cabaran Industri 4.0. Saya selalu cakap apa yang Kerajaan dulu ingat “cash is King” adalah salah, kerana “Data is King” barulah betul. Dengan slogan kata “Data adalah Raja, Bakat adalah Segalanya”, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun bermula melabur dalam kelas latihan serta bengkel untuk pengekodan komputer melalui Penang Science Cluster (PSC) serta penekanan kepada pendidikan STEMA melalui Penang Future Foundation Fund sejak tahun 2015 lagi. Di samping itu, pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengukuhkan lagi asas Industri 4.0 termasuklah pembinaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang untuk buku-buku khas untuk koleksi matapelajaran STEM, Pusat Pembelajaran Karpal Singh yang memberi penekanan kepada pendidikan STEM, Penang Tech Dome dan Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang. Penambahan dalam jumlah pelawat ke Penang International Science Fair menunjukkan penambahan pelajar-pelajar luar bandar menyertai program ini. Kita perlu memperluaskan penguasaan Sains ke kawasan luar bandar juga. Ini merupakan inisiatif yang sangat penting.
Justeru, saya mengalu-alukan Belanjawan 2019 Negeri Pulau Pinang yang memberi fokus kepada agenda Penang2030 yang berteraskan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.
Selaras dengan Belanjawan 2019 Persekutuan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh bekerjasama dalam merancakkan industri untuk menerap teknologi pintar Industri 4.0 melalui dana Transformasi Pendigitalan Industri dengan saiz dana sebesar RM3 bilion. Tambahan pula, MIDA melalui Dana Impak Tinggi akan menyediakan geran padanan untuk menggalakkan inisiatif Industri 4.0 yang merangkumi aktiviti seperti pemodenan fasiliti dan peralatan dengan teknologi terkini. Dana-dana ini berupaya untuk mengurangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Negeri Pulau Pinang sudahpun mempunyai ekosistem yang mantap memandangkan industri elektronik seperti semi-conductor dan precision engineering telah lama beroperasi di Negeri Pulau Pinang. Justeru peralihan kepada I4.0 melalui usahasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terlaksana dengan lancar.
Oleh itu, saya menerima baik rancangan Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan jalur lebar talian tetap dengan sasaran kelajuan 100Mps. Melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara Kerajaan Persekutuan bertujuan meluaskan jalur lebar ke seluruh negara dengan peruntukan RM1 billion. Selain itu, Kerajaan Pusat juga mensasarkan penurunan harga jalur lebar talian tetap sebanyak 25%.
Selain itu, Kerajaan Pulau Pinang berhasrat untuk menyambung inisiatif terdahulu seperti perpustakaan digital, Penang Science Cluster, Tech Dome, pusat tusyen rakyat yang bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda bagi memenuhi keperluan industri.
Saya juga ingin menyarankan kepada NGO dan usahawan sosial (social entrepreneurs) di Pulau Pinang untuk menggunakan peluang yang disediakan bukan sahaja oleh Kerajaan Negeri tetapi juga oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM10 juta bagi memperluaskan perkhidmatan mereka kepada rakyat Pulau Pinang. ini sudah tentu mampu mempertingkatkan lagi program kebajikan Kerajaan Negeri.
Kesimpulan
Peruntukan perbelanjaan pembangunan di bawah Belanjawan 2019 telahpun dinaikkan kepada RM857 juta daripada RM608 juta pada 2018. Di samping itu, tol motosikal akan dihapuskan pada 1/1/2019 yang akan menjimatkan RM1.40 di Jambatan Pertama dan RM1.70 di Jambatan Kedua masing-masing untuk satu perjalanan setiap hari. Ini merupakan penjimatan penting untuk pengguna motosikal, khususnya golongan B40. Di samping itu, Pelabuhan Swettenham juga dibenarkan Kedai Bebas Cukai yang akan merangsangkan pertumbuhan industri pelancongan “cruise tourism”. Kita harap ini dapat memperbanyakkan penumpang-penumpang dan kapal layar untuk ke Pulau Pinang.
Kerangka Belanjawan 2019 mengandungi intipati perjuangan kita semua dalam pilihanraya ke-14, untuk negara, rakyat dan ekonomi. Konsep negara diperjelaskan sendirinya secara komprehensif yang merangkumi agama, hak asasi rakyat dan pengasingan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan yang disokong oleh Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia. Perjuangan untuk rakyat merangkumi semua demografi dan geografi dalam negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Pakatan Harapan kini satu-satunya parti di Malaysia yang boleh mewakili rakyat daripada Perlis ke Sabah, tanpa batasan geografi. Pakatan Harapan kini satu-satunya parti di Malaysia yang boleh mewakili orang Islam dan bukan Islam, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, orang asli dan orang asal. Ekonomi menjadi indeks petunjuk prestasi yang paling penting untuk mengukur kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan.
Mempertingkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat akan dapat mengalahkan usaha parti lawan yang menggunakan taktik tidak bertanggungjawab dengan memainkan sentimen perkauman, ekstrimisme dan kebencian ke atas rakyat Malaysia lain untuk menutup kelemahan mereka dalam menguruskan ekonomi dengan baik atau menangani rasuah. Selagi Pakatan Harapan dapat memastikan rakyat boleh hidup lebih senang daripada dahulu dengan pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak wang untuk berbelanja, Pakatan Harapan akan membalas budi kepada amanah rakyat yang diberikan dan mengekalkan sokongan untuk terus memerintah. Marilah kita terus berjuang bersama-sama untuk negara, rakyat dan ekonomi.
Sekian, terima kasih.