Skip to content

Teks ucapan perbahasan Belanjawan 2019 Negeri Pahang oleh ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong sempena Mesyuarat Ke-3 Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang ke-14

Salam sejahtera, salam harapan dan salam Malaysia Baru.

Terima kasih kepada Dato’ Yang Dipertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Pahang bagi tahun 2019 yang telah berjaya dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada hari Isnin yang lepas.

Walaupun Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah disebabkan keadaan Kerajaan Negeri berdepan kedudukan kewangan yang begitu mencabar, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar kerana membawa suatu belanjawan yang seimbang dan inklusif tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

Saya amat tertarik kepada usaha Kerajaan Negeri dalam Kutipan Hasil Negeri dari hasil tanah dan galian dan hasil perhutanan, di mana anggaran kutipan adalah 388.80 juta ringgit dan 150.70 juta ringgit masing-masing.

Bagi tahun 2019, kita lihat Kerajaan Negeri dijangka mengutip hasil sebanyak 27.70 juta ringgit daripada Lesen Tumpangan Sementara (Kod nombor 71711) di mana pendapatan sebenar hanya mencatat 3.9 juta ringgit pada tahun 2017, ataupun 7 kali ganda.

Saya difahamkan oleh YAB Menteri Besar bahawa lesen tersebut termasuk Lesen Pendudukan Sementara ataupun lebih dikenali sebagai TOL.

Anggaran nombor dalam Belanjawan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa banyak Lesen Pendudukan Sementara akan diluluskan pada tahun depan. Hal sedemikian membawakan berita baik kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands kerana ramai antara mereka yang memegang Lesen
Pendudukan Sementara tidak dapat menjelaskan bayaran lesen selama 3 atau 5 tahun.

Saya mewakili pekebun-pekebun di kawasan Cameron Highlands mengucapkan terima kasih atas jasa baik Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar terlebih dahulu.

Di samping itu, kutipan hasil daripada permit perhutanan (Kod Nombor 71801) dijangka memperoleh 30 juta ringgit bagi tahun 2019, di mana kutipan sebenar bagi tahun 2017 adalah 16 juta ringgit, lebih kurang 2 kali ganda.

Perkara sedemikian mungkin adalah berita baik untuk pekebun dan peneroka hutan, akan tetapi juga mencetuskan kebimbangan orang awam bahawa kemungkinan besar menggalakkan pencerobohan tanah dan hutan secara haram terus berleluasa di Negeri Pahang.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Saya sering kali dilihat sebagai wakil rakyat yang memihak kepada pekebun-pekebun, meskipun dalam parti sendiri. Namun begitu, sebenarnya tidak. Saya bersimpati kepada pekebun yang kecil dan miskin, tetapi bukannya kepada pekebun (sebenarnya peladang) yang besar, terutamanya mereka yang terlibat dalam pencerobohan tanah sehingga beratus-ratus ekar tanah.

Kegiatan pencerobohan tanah oleh pekebun besar bukan sahaja membawa berbagai bencana kepada alam sekitar, tetapi juga mengakibatkan pekebun-pekebun kecil sama-sama menanggung dosa mereka.

Oleh sedemikian, pihak Kerajaan Negeri perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kegiatan pencerobohan tanah secara haram demi kesejahteraan alam sekitar dan rakyat.

Yang Berhomat Tuan Yang di-Pertua,

Saya juga menyambut baik perhatian yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam Pembangunan Orang Asli dengan pelaksanaan program-program pembangunan infrastruktur asas, peningkatan intelek dan pendidikan, dan keupayaan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat.

Di sini saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar kerana menyediakan Peruntukan Khas untuk ADUN pembangkang.

Dengan Peruntukan Khas tersebut, saya mampu membantu beberapa buah rumah di Kampung Asli Sungai Relong memperbaiki bumbung rumah yang dirosakkan ribut kencang.

Namun demikian, Peruntukan Khas tersebut tidak mencukupi untuk memperbaiki semua rumah yang mengalami kerosakan di Kampung Asli tersebut. Saya juga faham bahawa peruntukan khas bukannya guna sedemikian.

Oleh itu, pada masa yang akan datang, wajarnya Agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan, JAKOA dan Pejabat Daerah dan Tanah mengusahakan langkah-langkah yang boleh membantu keadaan kecemasan sedemikian.

Selain daripada perkara memperbaiki dan menaiktaraf infrastruktur perkampungan Orang Asli termasuk jalan berturap, grid elektrik 24 jam, bekalan air yang dirawat dan rangkaian komunikasi yang stabil, saya juga ingin membincangkan cadangan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti kehidupan Orang Asli seterusnya mengatasi masalah sosio ekonomi.

Ini termasuklah program penyediaan peluang pekerjaan dan keusahawanan, pendidikan, latihan kemahiran, perumahan mampu milik, kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas serta jaringan keselamatan sosial. Pendekatan ini memastikan tiada kumpulan masyarakat yang akan tercicir daripada mendapat peluang dan manfaat pertumbuhan ekonomi selaras dengan prinsip “no one left behind”.

Untuk memastikan Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan dan peluang pendidikan untuk mereka adalah teramat penting.

Kita perlu mengurangkan kadar keciciran pelajar melalui penyediaan asrama, pengangkutan dan bantuan kewangan dan menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar dari Masyarakat Asli yang berpotensi tinggi di institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran berdasarkan kepada kriteria kelayakan dan kuota kemasukan khas.

Kita perlu meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran tinggi seperti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan juga mempergiat Pembangunan Keusahawanan di peringkat sekolah.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya satu Sekolah Vokasional untuk Masyarakat Orang Asli boleh diwujudkan di Daerah Cameron Highlands. Ini bukan sahaja boleh merapatkan jurang pembangunan dan ketidakseimbangan pembangunan wilayah khususnya di luar bandar tetapi juga menggalakkan
pertumbuhan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya masyarakat Asli dan golong B40.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Saya ingin mencadangkan satu pendekatan kepada pihak Kerajaan di Dewan yang berbunyi ini iaitu Inisiatif Data Terbuka Untuk Sektor Awam. Apakah ini Data Terbuka?

Data terbuka ialah data yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsikan dan digunakan semula oleh rakyat, agensi kerajaan dan swasta untuk pelbagai tujuan. Pelaksanaan data terbuka kerajaan dapat meningkatkan ketelusan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi perkongsian data yang tepat, cepat dan relevan di samping meningkatkan produktiviti ekonomi digital negara melalui industri atau inovasi baharu dengan penglibatan rakyat dan komuniti perniagaan. Ia juga meletakkan Malaysia setaraf dengan negara lain dalam inisiatif kerajaan digital dan menghadapi Industri 4.0.

Bagaimanakah inisiatif data terbuka ini memberi manfaat kepada rakyat? Contohnya dalam pemantauan dan penguatkuasaan pencerobohan tanah, pihak kerajaan boleh mengumumkan segala hasil siasatan, tindakan dan pencapaian kepada orang awam. Perkara ini tidak perlu dalam kesulitan sedangkan tanah yang diceroboh ini adalah kekal di situ, ia tidak akan lari dan sembunyi.

Inisiatif sedemikian bukan sahaja boleh membantu pihak kerajaan menjalankan tugas dengan lebih telus dan mesra rakyat, tetapi juga mengelakkan pegawai kerajaan daripada dipersalahkan semasa menjalankan penguatkuasaan.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Akhirnya saya ingin menyentuh satu isu di kawasan saya sendiri iaitu mengenai memperbaiki dasar tempat letak kereta berbayar di Daerah Cameron Highlands.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Cameron Highlands terlebih dahulu kerana berjaya melaksanakan dasar tempat letak kereta berbayar mulai haribulan 1 Oktober 2018 dengan secara tidak langsung mewujudkan banyak tempat letak kereta di sekitar Brinchang dan Tanah Rata.

Namun begitu, dasar tersebut boleh diperbaiki supaya tidak menambahkan beban kepada penduduk tempatan. Antaranya termasuk mengurangkan jumlah hari pengutipan bayaran dan mengurangkan bayaran letak kereta bulanan.

Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, walaupun Cameron Highlands adalah Pusat Pelancongan, dasar letak kereta berbayar buat masa sekarang adalah dikuatkuasa 7 hari seminggu dan bayaran pas bulanan adalah 80 ringgit dengan diskaun sebanyak 25% ditawarkan untuk mereka yang membayar lebih dari sebulan. Saya difahamkan bahawa sedangkan ibu negeri Kuantan hanya 6 hari seminggu dan bayaran untuk pas bulanan adalah 52 ringgit.

Oleh itu, saya memohon MDCH boleh meminda Perintah Pengangkutan Jalan supaya mengurangkan jumlah hari pengutipan bayaran dan mengurangkan bayaran untuk pas bulanan demi kebaikan penduduk tempatan.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

Tahun 2019 akan menjadi satu tahun yang mencabar untuk kita semua memandangkan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu. Semoga Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2019 boleh membawa hasil yang manis untuk semua rakyat Pahang dan membolehkan Negeri Pahang terus makmur.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, agensi dan badan berkanun kerajaan yang telah memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Negeri Pahang.

Saya menyeru kepada rakan-rakan di Dewan yang mulia ini untuk berusaha bersama membantu Negeri Pahang mengharungi cabaran dan meningkatkan kesejahteraan sosial-ekonomi rakyat Negeri Pahang.