Skip to content

TEKS UCAPAN SEMPENA MAJLIS PENUTUP PERTANDINGAN MENGUMPUL MINYAK MASAK TERPAKAI PERINGKAT SEKOLAH DI KOTA KINABALU

Terima kasih kepada saudara/i pengacara majlis;

 

Yang Berbahagia Datuk Dr Ramle Hj Kasin

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM)

 

Yang Berusaha Encik Amran Arifin

Penyelaras MPOB Zon Sabah

 

Yang Berusaha Tuan Leong Tze Fui

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu

 

Wakil-wakil Kementerian dan Agensi, guru-guru, wakil-wakil sekolah, para peserta, rakan-rakan media, dan para hadirin yang dikasihi.

 

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI kepada semua.

  1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan kesyukuran dan rasa berbesar hati kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada pagi yang penuh semangat ini bagi menjayakan Program Penutup Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

 

  1. Program ini adalah sebagai salah satu inisiatif di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi menggalakkan pelaksanaan ekonomi kitaran sektor agrikomoditi yang mensasarkan individu dan kumpulan isi rumah seawal peringkat sekolah.

 

  1. Ini juga adalah kali pertama Kementerian menganjurkan program bersama JCI Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sudi menggemblengkan tenaga bersama sepanjang program ini dijalankan sejak bulan Ogos yang lalu.

 

  1. Objektif program ini adalah bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan pengumpulan dan kitar semula minyak masak terpakai Used-Cooking Oil (UCO) serta potensinya sebagai bahan mentah bagi penghasilan bahan api penerbangan lestari. Pada masa yang sama, program ini juga berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca selaras dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

 

Para hadirin yang dihormati,

 

  1. Selain kerjasama erat dengan pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), KPK juga bekerjasama dengan PETRONAS Dagangan Berhad bagi penganjuran program kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai di stesen-stesen minyak PETRONAS terpilih seluruh negara seperti Program From Fryer 2 Flyer yang diadakan pada bulan Ogos tahun lalu.
  2. Bermula dengan pelaksanaannya di tiga buah stesen pada Julai 2023, program ini kini telah diperluaskan ke 89 buah stesen minyak PETRONAS seluruh negara. Kini, sebanyak tujuh (7) stesen minyak PETRONAS terpilih di negeri Sabah juga menawarkan urusan jual beli minyak masak terpakai seperti berikut:
  • stesen PETRONAS Jalan Lintas, Kota Kinabalu,
  • stesen PETRONAS Batu 8 Labuk By Pass, Sandakan
  • stesen PETRONAS Jalan Utara, Tawau
  • stesen PETRONAS Jalan Berungis, Kota Belud
  • stesen PETRONAS KM 16 Jalan Tuaran Station
  • stesen PETRONAS Jalan Chong Thien Vun Station
  • stesen PETRONAS Batu 8 Jalan Silam Station

 

  1. Saya berbangga melihat program kesedaran pengumpulan minyak masak terpakai ini yang asalnya bermula dari stesen minyak, kini telah diperluaskan ke pelbagai peringkat termasuklah sektor korporat, institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

  1. Pengumpulan UCO adalah selaras dengan pendekatan Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dan prinsip 3R (Reduce, Reuse, Recycle) negara. Di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN2030), UCO dikenal pasti sebagai salah satu bahan mentah utama bagi penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).

 

  1. Permintaan domestik terhadap UCO dijangka akan meningkat dengan bermulanya operasi loji pengeluaran SAF pertama di Malaysia iaitu Ecoceres di Tanjung Langsat, Johor pada Oktober 2025. Loji ini mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 350,000 tan dan merupakan SAF pertama yang dikeluarkan secara komersial di Malaysia dengan pengiktirafan pensijilan ISCC CORSIA dan ISCC EU.

 

  1. Permintaan terhadap UCO dijangka akan meningkat hampir tiga kali ganda apabila loji biopenapis berskala besar Petronas/Enilive/Euglena di Pengerang, Johor mula beroperasi menjelang suku ketiga tahun 2028. Loji ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 650,000 tan setahun.

 

  1. Namun, bagi memenuhi permintaan domestik yang tinggi, keupayaan pengumpulan UCO dalam negara perlu dipertingkatkan dengan lebih meluas, bukan sahaja dengan penglibatan dari isi rumah semata-mata malah perlu diperluaskan kepada premis-premis perniagaan.

 

  1. Sehubungan itu, Program Pengumpulan UCO yang dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini perlu diteruskan dan dilaksanakan secara lebih meluas dan agresif di pelbagai peringkat.

 

  1. Berdasarkan statistik daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah UCO yang dikumpulkan di negeri Sabah adalah masih rendah iaitu hanya lebih kurang sebanyak 5,200 tan bagi tahun 2024. Secara keseluruhannya, jumlah ini tidak sampai 1.5% daripada jumlah pengumpulan UCO di seluruh Malaysia iaitu lebih kurang sebanyak 380,000 tan pada tempoh yang sama.

 

  1. Maka, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyeru seluruh masyarakat Sabah agar kita dapat memberikan komitmen dalam pengurusan minyak masak terpakai yang lebih baik. Marilah kita sama-sama meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan pengumpulan UCO dan hala tuju industri sawit dan industri biobahan api di Malaysia.

 

Para hadirin yang dikasihi,

 

  1. Penganjuran kempen pengumpulan minyak masak terpakai ini adalah diharap dapat memberi kesedaran akan kepentingan menguruskan minyak masak terpakai dengan cara yang teratur dan manfaatnya dari segi ekonomi kepada rakyat dan manfaat kepada alam sekitar dan negara.

 

  1. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua sekolah yang mengambil bahagian. Semoga usaha dan kerjasama ini akan berjaya mencapai matlamat yang disasar dan diharapkan oleh semua pihak.

 

  1. Sekali lagi terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program hari ini. Marilah kita bersama-sama menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, lestari, dan mesra alam.

 

 

Sekian, terima kasih.