Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang hadir pada taklimat pagi ini.
Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, penyakit demam denggi merupakan satu masalah kesihatan awam yang amat serius dewasa ini terutamanya di negeri-negeri seperti Pulau Pinang yang mempunyai populasi kawasan bandar yang sangat tinggi. Seperti yang Dato’ Pengarah Kesihatan maklumkan tadi, sebanyak 1118 kes denggi dilaporkan di Negeri Pulau Pinang sehingga 20 Februari 2016 berbanding 1010 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 10.7%.
Yang menggusarkan kita adalah bilangan kematian yang direkodkan sepanjang tahun ini adalah 350% lebih tinggi daripada tahun lepas. Iaitu 9 (sembilan) kematian pada tahun 2016 berbanding dengan hanya 2 (dua) pada tahun lepas. Data ini menggambarkan 1 (satu) atau seorang penduduk Negeri Pulau Pinang meninggal dunia disebabkan denggi setiap minggu. Peningkatan kes dan kematian denggi ini amat membimbangkan dan kita perlu berusaha dengan lebih giat bagi memastikan keadaan tidak berlarutan sehingga di luar kawalan.
Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan hadirin sekalian,
Seperti yang semua sedia maklum, bagi menangani masalah denggi ini, pelbagai usaha telah diambil antaranya dengan menggerakkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri bagi mengukuhkan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kawalan denggi. Salah satu strategi penting dalam Jawatankuasa ini adalah untuk memperkasa dan memobilisasi komuniti dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.
Kejadian penyakit Denggi merupakan isu atau masalah kebersihan persekitaran, tanpa usaha dan kerjasama padu ahli masyarakat adalah sukar bagi Jabatan Kesihatan untuk mengawal rebakan penyakit ini.
Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan hadirin sekalian,
Program COMBI atau singkatan pada Communication For Behavioural Impact telah dimulakan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2005 sebagai salah satu strategi bagi menggerakkan komuniti untuk bersama-sama membanteras Denggi. Melalui COMBI, komuniti diperkasa dan bertindak secara kolektif untuk mengurangkan kes demam denggi. Antaranya mengingatkan masyarakat supaya membuat pemeriksaan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman masing-masing.
Bagi Negeri Pulau Pinang, sehingga Januari 2016 sebanyak 134 pasukan COMBI telah ditubuhkan yang merangkumi 51 JKKKN , 12 JKKKP, 17 KRT dan 54 lain-lain agensi. Sungguh pun begitu, sebahagian besar daripada pasukan-pasukan COMBI yang ditubuhkan ini kurang aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan. Bilangan jawatan kuasa COMBI di Negeri Pulau Pinang juga sangat sedikit berbanding lokaliti wabak yang kita ada setiap minggu. Status terkini wabak denggi adalah terdapat 20 lokaliti wabak aktif di Negeri Pulau Pinang iaitu 3 di Seberang Perai Utara, 10 di Seberang Perai Tengah, 2 di Seberang Perai Selatan, 5 di Timur Laut dan 1 di Barat Daya.
Datuk-datuk, Datin-datin, Tuan-tuan, Puan-puan hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited untuk mewujudkan Komuniti Bebas Denggi melalui penyertaan dan kesepakatan semua pihak. Penglibatan komuniti dalam pencegahan denggi adalah amat penting dan menjadi keutamaan kita sekarang. Menyedari hakikat ini, program “turun padang” atau “walk-about” yang melibatkan wakil rakyat di beberapa lokaliti di negeri ini yang mengalami wabak denggi diperkenalkan.
Saya sendiri telah turun padang dengan melawat hampir semua keluarga-keluarga mangsa denggi yang meninggal dunia. Saya berbuat demikian kerana ingin melihat kebersihan tempat yang diduduki oleh mangsa-mangsa. Secara kesimpulan ada yang bersih dan ada yang kotor tetapi masih berlaku wabak denggi. Yang penting ialah untuk menjaga kedua-dua kebersihan dan memastikan tidak ada air bertakung. Satu sudu air pun cukup untuk nyamuk aedes membiak.
Semoga semangat ini berterusan bagi mencapai hasrat “komuniti bebas denggi”. Saya juga amat berharap agar selepas ini lebih ramai Wakil Rakyat yang terlibat secara langsung dalam kempen-kempen Kebersihan yang akan dilaksanakan sama ada di peringkat daerah mahu pun negeri.
Akhir kata, saya benar-benar menyeru kepada semua yang ada di sini untuk sama-sama menjalankan tanggung jawab masing-masing dalam memastikan kes denggi di Negeri Pulau Pinang ketika ini dapat dikawal dengan kadar segera. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha-usaha kawalan denggi terutamanya Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Tidak ketinggalan juga kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat, Penyelaras-penyelaras KADUN serta wakil-wakil yang hadir pada pagi ini. Semoga usaha kita semua akan membuahkan hasil demi kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.