Skip to content

Teks Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkenaan pelaksanaan pelan induk pengangkutan bersama dengan project delivery partner SRS Consortium

TAJUK: Semasa Kerajaan Persekutuan Menganaktirikan Pulau Pinang Dalam Perbelanjaan Pembangunan Dan Menyekat Pelaburan Dalam Sistem Pengangkutan Awam, Rakyat Pulau Pinang Akan Menentukan Cadangan Berdikari Kerajaan Negeri Untuk Mendirikan Light Rail Transit(LRT) Dan Jalanraya Untuk Kedua-dua Bahagian Pulau Dan Seberang Perai Demi Mengatasi Kesesakan Lalulintas

Semasa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Pulau Pinang dalam perbelanjaan pembangunan dan menyekat pelaburan dalam sistem pengangkutan awam, rakyat Pulau Pinang akan menentukan cadangan berdikari Kerajaan Negeri untuk mendirikan Light Rail Transit(LRT) dan jalanraya untuk kedua-dua bahagian Pulau dan Seberang Perai demi mengatasi kesesakan lalulintas. Hanya sistem pengangkutan awam seperti LRT dan bas boleh mengatasi masalah kesesakan lalulintas, khususnya golongan miskin. Ia memerlukan pelaburan besar dalam LRT dan jalanraya sampai RM27 bilion.

Perdana Menteri telah buat janji sebanyak 3 kali untuk membina LRT. Beliau tahu betapa pentingnya LRT untuk orang miskin, orang kaya tak apa ada alternatif sendiri. Malang sekali 3 kali Perdana Menteri berjanji, 3 kali ia tinggal janji kosong. Yang lebih teruk sistem pengangkutan awam yang sedia ada dikurangkan – lihat perkhidmatan feri yang tak memuaskan dan tidak cukup feri tidak ditambah, sebaliknya dikurangkan daripada 4 feri kepada 3 feri pada 1.1.2016. Malah janji 500 buah bas pun dikurangkan tinggal berapa yang beroperasi di Pulau Pinang saya tak tahu. Sebenarnya kawasan pulau sahaja pun perlukan 800 buah bas, mana cukup 500 buah bas untuk satu negeri?

Keengganan kerajaan persekutuan menunaikan janji memaksa kerajaan negeri buat Pelan Induk Pengangkutan(PIP) sendiri yang dibiayai secara berdikari dan rakyat akan tentukan samada sistem pengangkutan awam LRT ini cukup penting. Sekiranya ditolak oleh rakyat, kami terimanya dan terpulanglah kepada rakyat untuk menerima kesesakan trafik atau pilih alternatif lain yang bukan LRT. Inilah prinsip dan budaya demokrasi yang kita terima.

Pada hari ini kita semua akan mendengar satu penerangan berkenaan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bersama dengan SRS Consortium sebagai rakan penyampaian projek Kerajaan bermula sekarang sehingga tahun 2050. Tuan-tuan dan Puan-puan semua bolehlah mengajukan soalan dan pendapat selepas sesi penerangan ini berlangsung selepas ini.

Kerajaan Negeri sememangnya memandang serius isu kesesakan jalan dan sistem pengangkutan awam di Negeri Pulau Pinang semenjak memerintah negeri ini pada tahun 2008. Kami adalah pencetus kejayaan pembangunan/pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan lantaran itu, kejayaanbya menyebabkan kesesakan lalu lintas terus meruncing.

Kerajaan Negeri telah memulakan initiatif untuk menjalankan kajian menyeluruh berkenaan keadaan semasa sistem pengangkutan dan lalulintas di Negeri Pulau Pinang. Pada bulan Mei 2011, Kerajaan Negeri telah memulakan satu kajian yang dinamakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PIP).

Kami harapkan bahawa PIP akan diterima pakai oleh Kerajaan Persekutuan dan amat gembira bila YAB Perdana Menteri telah menabur janji sebanyak 3 kali ingin membina LRT di Pulau Pinang. Malangnya rakyat Pulau Pinang dihampakan bila janji-janji manis Perdana Menteri hanya tinggal janji kosong.

Itulah sebabnya Kerajaan Negeri tidak ada pilihan lain kecuali dengan sendiri membina sistem pengangkutan awam yang dibiayai bukan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi oleh Kerajaan Negeri sendiri.

Kajian PIP ini mengambil masa selama 16 bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Kajian ini merangkumi keseluruhan bahagian Pulau dan Seberang Perai. Hasilnya ialah pendekatan seimbang yang menggabungkan pembinaan lebuhraya baru dan pembinaan sistem pengangkutan awam yang berintegrasi. Hasil daripada kajian PIP ini juga terbahagi kepada 5 komponen utama iaitu :

  1. Pembinaan lebuhraya (Highway strategy)
  2. Pembinaan sistem pengangkutan awam (Public transport strategy)
  3. Kebolehsampaian (Accesssibility)
  4. Kajian pengangkutan air (Water transport study)
  5. Pembangunan institusi (Institutional plan)

Kosnya dijangka sekurang-kurangnya RM27 bilion. Anda boleh terima atau tolak PIP yang boleh mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, tetapi bagilah kami pilihan lain.

Kajian ini telah diterima sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri pada 25 Mac 2013 dan telah menjadi dokumen rasmi Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan oleh semua agensi serta jabatan yang terlibat. Bermula dari tahun 2013 lagi Kerajaan Negeri telahpun mula melaksanakan strategi di dalam PIP.

Ini termasuklah dengan melantik Zenith BUCG pada 6 Oktober 2013 bagi melaksanakan 3 projek lebuhraya dan satu pembinaan terowong bawah laut. Ini merupakan RFP pertama Kerajaan Negeri bagi pelaksanan PIP ini.

Pada bulan Mei 2014, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan strategi pelaksanaan PIP menggunakan konsep Project Delivery Partner (PDP). Ini jelas membuktikan Kerajaan Negeri begitu komited untuk melaksanakan projek-projek yang memberi manafaat kepada rakyat Pulau Pinang.

Pada 8 Ogos 2014, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan RFP bagi pelaksanaan keseluruhan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang. Sambutan yang diberikan amat luar biasa sekali. Sebanyak lebih 50 set dokumen tender telah dijual pada masa itu.

Sesi taklimat juga mendapat sambutan di mana para pembida memohon pelanjutan masa bagi penyerahan RFP mereka. Pada 16 Februari 2015, tempoh penyerahan RFP telah ditutup. Sebanyak 6 buah syarikat yang mengambil bahagian.

Kerajaan Negeri bersama-sama pihak KPMG telah membuat penilaian terperinci terhadap setiap cadangan yang dikemukakan. Ini merangkumi aspek teknikal, kaedah pembiayaan dan tahap kebolehlaksanaan setiap projek yang dicadangkan. Kerajaan Negeri mengambil masa selama 6 bulan bagi menilai dan memilih pembida yang berjaya.

Tanggal 14 Ogos 2015, secara rasminya Kerajaan Negeri mengumumkan keputusan untuk melantik SRS Consortium sebagai PDP bagi pelaksanaan keseluruhan strategi Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bermula sekarang hingga tahun 2065 (50 tahun perancangan). Dengan pelantikan ini Kerajaan Negeri akan bekerja dengan lebih rapat bersama pihak SRS Consortium bagi memuktamadkan perjanjian fasa pertama pelaksanaan yang dijangka akan ditandatangani pada bulan Februari 2016.

Ini termasuklah memuktamadkan jajaran LRT, Sky Cab dan terowong bawah laut di Persiaran Gurney. Fasa pertama pembinaan dijangka akan bermula pada tahun 2017 dan mengambil masa selama 8 tahun untuk disiapkan. Ini termasuklah menyiapkan 3 lebuhraya dan satu jajaran LRT dari George Town ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Pada masa kini, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah dengan memulakan sesi penerangan kepada semua pihak yang berkepentingan di negeri ini. Kerajaan Negeri akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini terhadap pelaksanaan PIP dari masa ke masa. Jawatankuasa Komunikasi Strategik yang diterajui oleh YB Chow Kon Yeow akan memastikan semua pihak mendapat info yang tepat dan memastikan setiap maklum balas yang diterima diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat.

Dari segi pembiayaan kepada PDP pula, Kerajaan Negeri mencadangkan agar kaedah land swap tebus guna tanah di “Middle Bank” digunakan. Akan tetapi PDP SRS rasa ia tidak mencukupi dan menolak “Middle Bank” dengan mengesyorkan kajian lokasi lain yang sesuai adalah di selatan Pulau Pinang. Perlu ditegaskan cadangan tambakan laut di Selatan Pulau Pinang belum diluluskan dan adalah satu fitnah oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Ia boleh ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya besar yang akan datang dan Kerajaan Negeri akan menerima keputusan raykat. Ingat bila Kerajaan Negeri menjalankan projek terowong dan 3 lebuhraya utama untuk RM6.3 bilion, ia hanya ditandatangan pada Oktober 2013, selepas Pilihanraya ke-13.

Kawasan yang ditambak menjadi hak mutlak kepada Kerajaan Negeri. Untuk membiaya kos projek PIP sebanyak RM 27 bilion. Sekiraya land swap tebus guna tanah tidak disetuju oleh rakyat maka kami terimanya. Biar raykat putuskan samada mahu PIP yang mengatasi kesesakan trafik atau bersedia menerima dan bersetuju menghadapi kesesakan trafik yang teruk.

Kerajaan Negeri juga mempunyai hak bagi memilih kontraktor dan pembekal yang berpotensi setelah dinilai oleh PDP. PDP akan membantu dari segi perolehan setiap projek yang terlibat dari awal hingga semua projek selesai. Sekiranya berlaku masalah kelewatan dan lebihan kos, PDP akan tampil untuk menyambung tugas-tugas berkenaan mengikut masa dan kos yang telah ditetapkan di dalam perjanjian.

SRS Consortium akan memberikan penerangan lanjut mengenai pelaksanaan PIP ini sebentar lagi. Tuan/Puan bolehlah membuat pertanyaan terhadap sebarang kemusykilan berkenaan strategi pelaksanaan PIP bermula sekarang hingga tahun 2065.

Sekian Terima Kasih