Skip to content

Telitikan kembali hasrat untuk Pulau Langkawi dijadikan destinasi pilihan umat Islam.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus perlu meneliti dan menyemak kembali pengumuman yang dibuat oleh beliau yang berhasrat menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pilihan umat Islam yang menekankan pelancongan Muslim. Cadangan YB Khairul untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim telah mencetuskan kebimbangan serius di kalangan pemain-pemain industri pelancongan, yang sebelum ini telah melabur dan menyasarkan perniagaan mereka berdasarkan jenama Pulau Langkawi sebagai pusat peranginan bertaraf antarabangsa yang terbuka kepada semua.

Oleh sebab itu, Khairul perlu meneliti dan menyemak kembali cadangan tersebut bagi mengembalikan keyakinan di dalam industri pelancongan Langkawi. Mengehadkan potensi Pulau Langkawi hanya pada mana-mana sektor khusus, seperti pasaran pelancong Muslim, akan menjadi tidak produktif dengan menghadkan pasaran pelancongan bukan Islam.

Langkawi sudah memiliki ramuan terbaik seperti UNESCO Global Geopark dan menjadi destinasi utama bagi pelancong Eropah, India dan China yang rata-ratanya merupakan pelancong bukan Islam, maka hasrat Khairul untuk menjenamakan semula Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim akan menyebabkan Langkawi kehilangan tarikan pelancong antarabangsanya. Ramai pemain di dalam industri pelancongan, baik peniaga Muslim dan bukan Islam termasuk kedai bebas cukai, kini bimbang mereka akan kehilangan pasaran pelancong bukan Islam dek kerana pengumuman oleh Khairul.

Yang mendapat laba kelak sudah tentu destinasi pelancongan di negara jiran, hasil daripada kehadiran pelancong yang membatalkan niat mereka untuk ke Langkawi. Merencatkan pembangunan semula industri pelancongan di Langkawi ini juga bertentangan dengan usaha gigih yang dilakukan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan dengan peningkatan ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancong.