Skip to content

Teng Chang Yeow menghina professionalisme PDRM

Dakwaan Pengerusi BN Negeri Pulau Pinang Teng Chang Yeow bahawa PDRM tidak dapat menyiasat punca kejadian yang menyebabkan tragedy tanah runtuh di Tanjung Bungah merupakan suatu penghinaan terhadap imej dan professionalisme pihak polis, dan juga merupakan suatu fitnah terhadap keupayaan PDRM sebagai sebuah agensi penguatkuasa yang berwibawa di Malysia.

Pada masa yang sama, cadagan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak-Hak Asasi Manusia Parti Gerakan Baljit Singh yang mendesak pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 (Kesalahan Membunuh) dan 304A, Kanun Keseksaan (Kematian yang Disebabkan oleh Kecuaian), boleh dilihat sebagai suatu temparan terbuka terhadap pendirian yang diambil oleh Teng Chang Yeow.

Kebelakangan ini, terdapat dua parti politik pembangkang di Pulau Pinang yang turut membuat repot polis bagi mendesak siasatan polis dijalankan terhadap insiden tersebut, turut membuktikan Teng Chang Yeow merupakan seorang pemimpin suka bermain politik yang asyik cakap kosong lagi tidak masuk akal.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan MBPP melalui ketua arkiteknya membuat repot polis terhadap insiden yang telah berlaku di Tanjung Bungah, bagi menunjukkan Kerajaan Negeri tidak takut berdepan dengan siasatan polis, termasuk juga siasatan SPRM yang telah dimulakan baru-baru ini.

Kerajaan Negeri tiada apa-apa yang perlu disembunyikan malah telah memberi penjelasan yang amat terperinci terhadap proses kelulusan Pusat Sehenti (OSC) MBPP terhadap permohonan projek pembangunan tersebut dalam masa tersingkat apabila berlakunya tragedi itu.

Kerajaan Negeri turut menubuhkan Suruhanjaya Siasatan TYT supaya setiap pihak yang terlibat, termasuknya Ketua Menteri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Bandar, Ahli-Ahli Majlis MBPP serta pegawai-pegawai MBPP yang mungkin terlibat dapat disiasat oleh Suruhanjaya tersebut.

Walaupun pihak MBPP sendiri boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemaju, kontraktor, arkitek atau jurutera yang turut terlibat, namun disebabkan Kerajaan Negeri atau MBPP turut dipersalahkan dalam insiden tersebut, maka dengan adanya repot polis dibuat supaya siasatan polis boleh dijalankan dengan serta-merta merupakan suatu pendekatan yang lebih bersesuaian bagi menangani kes tersebut.

Teng Chang Yeow tidak harus menyalahkan Kerajaan Negeri atau MBPP tanpa memberi peluang kepada MBPP untuk membuat repot polis bagi tujuan membela diri atau menyerah diri untuk disiasat oleh pihak polis. Pihak polis juga boleh turut menjemput agensi-agensi lain seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk membantu dalam siasatannya.

Janganlah asyik kita berpolitik sahaja! Adalah lebih baik kita semua menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap keupayaan PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang berwibawa bagi menjalankan kerja-kerja siasatan yang menyeluruh dan terperinci ke atas insiden tersebut, sebagai suatu cara untuk menuntut dan mengembalikan keadilan kepada mangsa-mangsa insiden serta ahli-ahli keluarga mereka.